Zaid: Mungkin silap tarik balik saman hudud

 
WAWANCARA Ketika kerancakan PAS mengetengahkan hudud ketika menguasai Kelantan dan Terengganu, Datuk Zaid Ibrahim muncul antara segelintir orang Islam yang menentang pelaksanaan undang-undang jenayah Islam itu.

Zaid, ketika itu ketua bahagian Umno Kota Bharu, pada 2002 memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa kedua-dua negeri itu tiada kuasa untuk menggubal undang-undang, termasuk hudud.

Keputusan itu akan merancakkan perdebatan hudud. Tetapi Zaid kemudiannya menarik balik permohonan itu.

“Saya diberitahu supaya menarik permohonan di mahkamah,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di kediamannya di Petaling Jaya minggu lalu.

Beliau enggan mendedahkan pihak yang memberi arahan itu.

“Secara politiknya amat sukar untuk mereka menguruskan isu itu sebelum tibanya pilihan raya umum (2004). Mereka tidak mahu saman saya dipersalahkan jika terdapat kekalahan besar dalam pilihan raya."

“Saya anggota parti (Umno) yang sangat taat pada masa itu,” akuinya.

Dan perbahasan berhubung isu hudud berpanjangan sehingga ke hari ini, 12 tahun selepas tarikh itu.

Melihat perkara itu secara retrospektif, Zaid berkata, mungkin beliau silap menarik balik saman itu, tetapi “kami lakukan apa yang patut dilakukan pada masa itu, dan saya tidak menyesal”.

Bekas menteri undang-undang itu memang sedia dimaklumi dengan pendirian tegasnya.

Beliau pernah meninggalkan Umno kerana tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara dan selepas itu menyertai PKR dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), sebelum meninggalkan kedua-duanya kerana perbezaan politik.

Zaid bagaimanapun berkata tidak akan membawa isu hudud ke mahkamah sekali lagi, walaupun PAS sebelum ini merancang membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi memberi laluan kepada pelaksanaannya.

Rang undang-undang itu, jika diluluskan, akan membolehkan Kelantan melaksanakan enakmen hudud negeri yang diluluskan pada 1993.

PAS bagaimanapun menarik brek Ahad lalu selepas pembentukan jawatankuasa teknikal antara kerajaan Kelantan dan Pusat bagi mengkaji pelaksanaan undang-undang itu.


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment