Undang-undang sivil juga undang-undang Islam, kata Abim

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan undang-undang sivil yang diguna pakai di Malaysia juga sebahagian daripada undang-undang Islam.

Ahli Exco Pusat Abim, Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata Malaysia bukanlah negara sekular kerana undang-undang sivil juga merupakan hukuman takzir yang digariskan dalam kanun jenayah Islam.

"Kita bukanlah negara sekular. Kita meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi dan usaha menguatkuasakan hudud juga adalah perjuangan menegakkan hukum Tuhan."

"Hudud boleh diaplikasikan di Malaysia seperti mana perbankan Islam. Kerajaan menerima perbankan Islam kerana memberi manfaat. Begitu juga hudud memberikan keamanan," katanya ketika berucap di forum 'Hudud: Pelaksanaan di Malaysia' di Masjid Negeri di Shah Alam, Selangor hari ini.

The Malaysian Insider hari ini melaporkan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata parti Islam itu mengakui tidak dapat melaksanakan undang-undang Islam sekiranya Putrajaya tidak meminda Akta Mahkamah Syariah.

Katanya, Putrajaya perlu mengambil tindakan awal meminda akta berkenaan untuk membolehkan rancangan mereka melaksanakan undang-undang Islam itu di Kelantan tercapai.

Zulkifli berkata infrastruktur yang kondusif perlu disediakan oleh kerajaan negeri sebelum melaksanakan hudud bagi mengelakkan ia disalahguna dan berlaku penganiayaan.

Katanya, tiada alasan untuk tidak melaksanakan hudud, dan kerajaan perlu memainkan peranan yang efektif memberi penerangan kepada rakyat.

"Secara perundangannya, hudud boleh dilaksanakan pada bila-bila masa. Namun kita akan berdepan dengan pelbagai isu semasa pendakwaan."

"Jika kerajaan mengadakan sesi penerangan, menaikkan poster dan mencipta lagu sebagai mana yang dibuat bagi mempromosikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) maka kenapa tidak ia dilakukan kepada hudud," katanya.

Beliau berkata rakyat perlu faham hudud adalah undang-undang pencegahan bagi mengelak berlakunya jenayah dan bukannya untuk menghukum manusia.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment