Speaker nafi khabar angin DUN Terengganu dibubarkan

Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Zubir Embong nafi DUN negeri itu dibubarkan susulan krisis politik di Terengganu. Gambar jkrkt.terengganu.gov.my.Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Zubir Embong nafi DUN negeri itu dibubarkan susulan krisis politik di Terengganu. Gambar jkrkt.terengganu.gov.my.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mohd Zubir Embong hari ini menafikan khabar angin kononnya DUN dibubarkan berikutan perkembangan politik terbaru di negeri ini.


Beliau berkata, DUN hanya boleh dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mesti menghadap Tuanku Sultan untuk memperkenankan pembubaran DUN Terengganu dan setakat ini ia masih belum berlaku."

"Bagaimana hendak bubarkan DUN, sedangkan saya sebagai Speaker DUN pun masih belum terima sebarang surat untuk membubarkannya," katanya.

Khabar angin tersebar luas melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi Whatsapp kononnya DUN Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini dan pilihan raya negeri Terengganu akan diadakan dalam masa 60 hari.

Mohd Zubir turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Khabar angin tersebar selepas bekas menteri besar Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said dan dua lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Umno - Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi wakil Bebas.

Dengan perkembangan terbaru politik itu, wakil BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) kini tinggal 14, PAS (14) dan PKR (1).

Selepas Ahmad meletak jawatan sebagai menteri besar semalam, Ahmad Razif yang juga Adun Seberang Takir, mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu malam tadi.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment