Setahun BN Kembali Di Kedah: Ada Apa Untuk Rakyat?

oleh Muhammad Sanusi Md Nor
http://1.bp.blogspot.com/-UdE4gFdusOU/UY4sWd7FirI/AAAAAAAAAiw/fi4sMp5EgeY/s1600/mukriz+mahathir+mb+kedah.jpg
Kata Dato' Mahfuz, BN Kedah di bawah DS Mukhriz ada 3B - Blur, Blind dan Blank.
Menulis analisis ringkas tentang Kedah setahun pasca PRU13 memang sukar kerana 'tak ada apa' untuk dianalisa. Dari kaca mata rakyat yang prihatin, BN Kedah hambar dan statik! Pimpinan kerajaan negeri bagai mengurungkan diri dalam kerangka fasa-fasa yang mereka sendiri cipta, sekarang ini fasa baru 'berbulan madu'.
Seorang strategis UMNO dalam pentadbiran kerajaan pernah memberitahu saya, sekurang-kurangnya ada tiga fasa dalam stail pentadbiran politik UMNO/BN yang berjaya mengekalkan kuasanya selama 50 tahun di Kedah. Fasa pertama ialah melaksanakan tindakan-tindakan yang tidak popular, termasuk yang menimbulkan kemarahan dan kritikan rakyat. Tindakan penguatkuasaan peraturan baru, kenaan cukai dan bayaran baru, perobohan gerai dan bangunan, dasar dan polisi yang menekan rakyat, dilaksanakan dalam fasa ini.

Fasa kedua ialah fasa memperbaiki sebarang kerosakan, meredakan kemarahan, atau waktu untuk menjadi hero merungkai pertelingkahan. Paling tidak pun, dengan berdiam diri supaya kemarahan dan kritikan dapat dilupakan. Waktu pertengahan ini lazimnya pada tahun ke tiga dan empat selepas pilihanraya.
Fasa terakhir ialah fasa gula-gula menjelang pilihanraya. Limpahkan rakyat dengan janji muluk-muluk dan pemberian manisan yang mengembirakan. Fasa terakhir inilah yang memenuhi ingatan dan perasaan rakyat ketika memangkah kertas undi. BR1M adalah contohnya.
KUIN dan Maahad Tahfiz: Satu kebal, satu lagi berjaya dibunuh
https://fbcdn-sphotos-h-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/530703_10151327893858643_2004694761_n.jpg
Saya masih ingat baris-baris ayat Almarhum Ustaz Azizan yang terbaring di katil KMC meminta pertolongan dua perkara sahaja kepada Dato' Mukhriz yang menggantikannya. Walaupun daripada parti yang berlawanan, atas dasar budaya tinggi seorang negarawan yang mencintai negeri dan rakyatnya, dia berharap KUIN dan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba diteruskan.
Memang benar, itulah sasaran paling awal untuk dipunggah kepimpinan MB baru. Dua projek pendidikan ini jika dibiarkan akan mengubah lanskap sosio-politik Negeri Kedah. Rakyat marah dengan cubaan menjual Fakulti Perubatan kepada Kolej MAHSA dan pemindahan pelajar dari kampus induk Kuala Ketil balik ke Mergong. Pelajar KUIN berarak ke sana ke mari. Dewan kuliah menjadi sesak. Tenaga pakar yang dibawa masuk mengasaskan bidang-bidang baru KUIN mula angkat kaki meninggalkan Institusi yang sedang berkembang itu. Politik BN terlalu rakus, sanggup membunuh pendidikan dan prasarananya demi menghilangkan kesan kejayaan orang lain.
https://fbcdn-sphotos-e-a.akamaihd.net/hphotos-ak-frc1/998890_166062946912022_1888884_n.jpg
Cubaan mengosongkan Kampus Induk gagal. Kemasukan Rektor baru yang berpengalaman dalam selok belok pentadbiran universiti menamatkan keghairahan BN. Dia mengakui KUIN sudah berada di atas landasan yang benar untuk mencapai matlamat menjadi sebuah universiti penuh. Teruskan saja apa yang ada. KUIN yang disusun di zaman PAS/PR ternyata kebal, gagal dimatikan. Kegagalan itu menyebabkan BN serta merta melompat ke fasa kedua - fasa memperbaiki kerosakan dan berdiam diri tentang KUIN supaya kemarahan rakyat reda dan kejahatan mereka dilupakan. Saya percaya, fasa tiga nanti akan ada gula-gula manis tentang KUIN.
Maahad Tahfiz Sains Pulau Tuba yang diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) berjaya dibunuh pada tahun pertama BN berkuasa semula. Walaupun bajet RM3 juta untuk fasa pertama sudah diluluskan dalam DUN, dan syarikat Seri Temin Development ( sebuah GLC) sudah memenangi tander pembinaan projek pusat pendidikan Islam bernilai RM9 juta itu, ketakutan politik mengatasi hasrat murni kerajaan sebelumnya. Kata mereka, Maahad Tahfiz itu nanti akan melebarkan pengaruh PAS ke Pulau Tuba, maka ia perlu dibatalkan. Terpadamlah sinar cahaya yang cuba menyuluh kesuraman di pulau itu. Kini isu pembatalan ini sunyi, dikurung dalam fasa kedua. Almarhum Ustaz Azizan mengharapkan dua program pendidikan untuk anak bangsanya ini diteruskan, berpesan sambil berbaring menahan derita sakitnya. Baringannya itu berlanjutan hingga ke hujung hayatnya, kerana dia tidak pernah bangun duduk, berdiri atau berjalan lagi selepas detik itu. Apakah rakyat mampu melupakan khianat BN kepada jiwa kependidikannya, dengan gula-gula di fasa 3 nanti?
Tukar Kereta
Kereta masih elok, berhabis duit untuk apa?
http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.237893.1389056219!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_490/image.jpg
Isu pembelian kereta Mercedes Model S300 (SV221C) menggunakan nombor pendaftaran KBV 8, bagi menggantikan kereta yang digunakan oleh MB sebelumnya yang juga masih baru (KCX8) , telah menyerlahkan selera sebenar pemimpin BN. MB segera berdalih bahawa kereta baru itu untuk kegunaan YDP Agong di Langkawi selepas banyak pihak mendedahkan di laman sosial gambar kereta baru itu. 
Soalan kenapa mengunakan nombor pendaftaran KBV 8 yang diambil daripada kereta MB di zaman Dato Seri Mahdzir Khalid untuk kegunaan YDP Agong tidak dapat dijelaskan. Rakyat sudah maklum kenderaan DiRaja biasanya menggunakan plat warna kuning, tidak pernah pun dipamerkan nombor pendaftarannya. Selepas bersembunyi dibelakang istana, isu kereta menjadi senyap seketika.
https://fbcdn-sphotos-f-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn1/1538856_441455032649596_1846707081_n.jpg
Selang dua bulan, kereta exco pula digantikan dengan Proton Perdana (Accord Perdana) baru, walaupun Toyota Camry yang sedia ada masih baik kondisinya. Untuk rekod, Camry itu dibeli pada 2011, selepas Proton Perdana yang digunakan sejak 2005 sudah tidak lagi ekonomik. Kenderaan itu sering rosak, termasuk meragam dalam perjalanan menghadiri program utama kerajaan. Penggantian alat ganti memakan masa terlalu panjang, melebihi dua minggu, walaupun MB memanggil wakil Proton untuk merundingkan hal ini.
Pembelian Camry dan Fortuner dibuat selepas tiga tahun (2008-2011) menggalas tugas memimpin kerajaan, dan setelah mengambilkira usia dan kondoisi kereta, bagi memastikan pergerakan anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan tidak tergendala dan bermasalah. Dari satu sudut lain, ia lebih menjimatkan perbelanjaan kerajaan, berbanding membaiki kerosakan kereta lama yang sudah uzur untuk pergerakan yang kerap dan perjalanan jauh.
Alasan MB untuk menghalalkan pemborosan ini ialah Camry dan Fortuner terpaksa dijual kerana bekas exco berhasrat membelinya. Kenapa Kerajaan Negeri tiba-tiba berubah menjadi kedai jualan kereta terpakai? Apakah kerajaan tidak mampu menolak hasrat bekas exco, atau tidak mampu menahan gelora nafsu citarasa para pemimpinnya?
Tidak terkecuali pemimpin BN yang dihadiahkan pisisi penting di GLC, turut membeli kereta mewah. Antaranya seorang Adun senior dalam BN Kedah yang tidak diberi kerusi Exco, dihadiahkan kerusi Pengerusi Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan (KLPK), sebuah anak syarikat PKNK. Beliau mengarahkan syarikat membeli sebuah Range Rover baru berharga RM400 ribu untuk kegunaanya. Saya percaya selepas tiga tahun, dia akan memohon untuk membeli kereta itu daripada syarikat pada harga yang murah. Tercapailah hajatnya.
Kini, pada tahun pertama lagi, sebelum sebarang program untuk rakyat menampakkan hasilnya, pemimpin kerajaan sudah menyelesaikan sebahagian citarasa mewah yang selari dengan selera pribadi mereka. Mereka berkurung di fasa kedua untuk rakyat melupakannya.
Akujanji Tinggal Janji
Saya telah meneliti senarai Akujanji BN Kedah PRU13 setebal 18 mukasurat. Ia mengandungi ratusan janji muluk untuk memikat rakyat, sebahagiannya dicedok daripada program kerajaan PR sebelumnya, sebahagian lagi adalah program yang pembangunan yang sudah terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke10, 2011-2015 (RM-10). Tiada apa lahir dari perahan fikiran pemimpin BN Kedah.
Sepadan dengan Akujanji yang dicedok, tindakan pelaksanaannya juga terbantut. Semuanya menanti keputusan makmal transformasi, walaupun mereka sedang melangkah ke tahun kedua sebagai kerajaan. Pada 14 April 2014, dengan bangganya seorang Exco Kerajaan mengumumkan kerajaan BN sanggup hilang RM4 juta yang dikutip oleh 12 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi melaksanakan akujanjinya menghapuskan bayaran lesen penjaja.
Rupa-rupanya, tidak ia tidak semudah itu. Bayaran lesen penjaja terkandung dalam Seksyen 107 Akta 171, tidak boleh dihapuskan tanpa pindaan terhadap akta itu di Parlimen. Pengumuman Kerajaan Negeri sanggup hilang RM4 juta itu sebenarnya patut dibaca sebagai - kerajaan negeri meningkatkan perbelanjaannya sebanyak RM4 juta setahun kerana membayar harga lesen bagi pihak penjaja yang layak. Kelayakan untuk menikmati 'bantuan' ini juga terlalu ketat dan menyusahkan. Tidak semua penjaja akan menikmatinya. Ia tidak menjadi 'Nikmat untuk Semua', slogan PR yang sedang dihapuskan oleh BN.
Selang 10 hari selepas itu, pihak PBT menguatkuasakan pula bayaran 'lesen meja' bagi penjaja kecil sebanyak RM15 sebuah meja setiap bulan, deposit RM500 dan penjaja perlu memiliki insuran perlindungan awam bernilai RM100 ribu. Beban apakah yang sedang menimpa para penjaja ini dalam tahun pertama BN memerintah semula Kedah?
Mengumumkan 'pelaksanaan' akujanji kononnya 'kerajaan hilang' RM4 juta setahun itu hanyalah salah satu cubaan untuk menyaingi langkah awal kerajaan PR 2008-2013 yang menurunkan kadar cukai tanah antara 25-75% yang mengakibatkan kerajaan waktu itu hilang hasil sebanyak RM50 juta setahun. Ia benar-benar dilaksanakan dan kekal hingga sekarang. Kerajaan masa itu tidak membuat bayaran melalui 'pintu belakang' kepada pejabat tanah untuk bermain wayang dengan rakyat seperti yang dibuat oleh BN dalam hal lesen penjaja ini.
Akujanji yang menarik juga pada musim harga getah menjunam teruk ini ialah mewujudkan bandaraya getah di Padang Terap. Saya sudah menulisnya di sanusimdnor.blogspot.com. Hingga kini, tiada apapun yang berlaku dengan akujanji itu, malah semua janji manis BN Kedah terbantut dipintu makmal trasformasi yang diwujudkan.
Sepanjang setahun ini, rakyat Kedah ternanti-nanti apakah yang mampu dilakukan oleh Kerajaan Negeri selain turut serta merasmikan program kerajaan pusat iaitu Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).
Zipy dan Padi berkonflik
Tahun pertama BN Kedah ini ditutup dengan konflik besar, atara kepentingan pengeluaran padi dan pelancaran semula projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) di atas tanah sawah seluas 4300 ekar di Yan.
Pada 2007, satu pengambilan balik tanah telah diwartakan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Balik Tanah (1960), untuk membangunkan projek ini. Almarhum Ustaz Azizan selaku Adun Sungai Limau menentang keras pengambilan tanah sawah kerana bimbangkan kesannya terhadap sisioekonomi penduduk dan pengeluaran padi.
Pada hari pertama menjadi Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan membatalkan projek ini, dan mengarahkan syarikat yang mencadangkannya, Merapoh Resources Corporation (Merapoh) mengubah lokasinya ke dalam laut jika masih berminat meneruskannya.
Projek itu diteruskan di tapak cadangan baru kemudiannya dinamakan Sungai Limau Hidrocarbon Hub (SULIH). Terselamatlah kawasan sawah paling subur dalam kawasan MADA seluas 4300 ekar. Waktu itu sedang berlaku krisis bekalan makanan seluruh dunia. Kerajaan PR turut menyekat sebarang cadangan pembinaan bangunan perumahan atau komersil di atas tanah sawah padi untuk menjamin Food secuirity yang menjadi keutamaan kerajaan PR.
Pada 24 April lalu, DS Mukhriz Tun Mahadir telah menyampaikan ucapannya sempena Majlis Menandatangi Perjanjian Kerjasama antara Merapoh dan China Energy untuk meneruskan semula projek ZIPY di Yan.
Agak mengejutkan projek tersebut kini membabitkan nama-nama besar seperti bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Dato’ Bistamam Ramli, selaku penasihat dan Pengerusi Merapoh. ZIPY adalah cadangan asal syarikat ini pada 2007, di atas tanah sawah padi. Kini ia melibatkan taikon-taikon besar dalam politik pembolotan kekayaan negara.
Selang sepuluh hari, DS Mukhriz muncul pula di Kota Kuala Muda menggalas mesin menabur benih padi di tengah sawah, merasmikan pelancaran Estet padi di bawah kelolaan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). Di depan masyarakat pesawah, MB melahirkan kebimbangan kerana pengeluaran padi Kedah telah merosot dengan teruk, daripada 70% kepada 30% untuk bekalan beras negara. NCIA turut mendedahkan bahawa kerajaan pusat telah membelanjakan RM7.3 bilion membantu sektor padi di Kedah sejak 40 tahun lalu.
Saya percaya ZIPY melalui penglibatan tokoh-tokoh besar yang dilahirkan di zaman Tun Mahadir menjadi PM, akan tetap dilaksanakan di tapak cadangan asalnya. Saya juga percaya, kebimbangan tentang padi di Kota Kuala Muda itu hanyalah kesedaran palsu, menurut skrip ucapan yang disediakan oleh NCIA. Masakan tidak, projek estet padi menyediakan dana RM500 juta!
Dalam fasa pertama stail pemerintahan BN, hampir semua program utama zaman PR untuk rakyat seperti Skim Kafalah, Maahad Tahfiz Sains, Bantuan IPTA, KUIN dan seumpamanya sudah berjaya dibunuh ataupun dipadamkan. Penguatkuasaan peraturan baru juga telah mengambil tempat satu demi satu. Mereka sedang memasuki fasa kedua perlahan-lahan.
Pembebasan pegawai tadbir dari cengkaman politik yang dilaksanakan oleh Ustaz Azizan pada minggu pertamanya sebagai MB, kini nampaknya sudah beransur hilang. Mereka nampaknya mulai diikat dan dikurung semula oleh pemimpin BN atas alasan transformasi dan pelaksanaan 'the new school of thought' dalam pentadbiran. 'Old school' warisan 100 tahun yang dipertahankan bermati-matian sebelum ini sudah 'outdated' dan terpaksa dilepaskan. Itulah harga kesetiaan.
Keutamaan kerajaan BN Kedah dalam tahun kedua ini adalah projek berskala besar untuk tokoh-tokoh besar. Program untuk rakyat, Akujanji dan transformasi akan diperam di makmal sepanjang fasa kedua. Sehingga fasa ketiga (fasa gula-gula) menutup tirai pasca PRU13, Kedah akan kekal hambar dan statik, pemimpinnya boleh bersuka ria dalam fasa baru mereka- 'berbulan madu'.
 
Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment