Saya tak kata ramai ahli PAS tolak hudud – Hanipa

PERKATAAN ramai ahli PAS tolak laksana hudud di Kelantan bukan ucapan saya. Sejak awal saya sedar panelis dan hadirin yang datang adalah memusuhi (hostile) kepada hudud. Sebenarnya hujah yang mereka kemukakan bukanlah benda baru.

Memang sukar untuk menjawab dalam masa 15 minit tentang isu yang dibangkitkan oleh Dr Farouk. Sebagai contoh dia bawa hujah hukum rejam tidak ada dalam al-Quran dan apabila saya jawab hukum rejam ini ada dalam Quran tapi tilawahnya telah dinasakhkan dan saya kata kita kena faham isu nasakh dan mansukh kerana ini melibatkan ulum al-Quran. Apabila saya kata hukum rejam ada dalam hadith berdasarkan kes Maiz dan Ghamidiyyah, Dr Farouk berhujah bahawa hadith hanya bersifat dzanni tidak boleh digunakan kerana kita hanya kena ikut al-quran.

Hadirin kebanyakannya bukan Islam. Maka meskipun kita boleh jawab hujah Dr Farouk daripada perspektif Islam namun hadirin mungkin tidak akan faham apa yang nak didebatkan. Jadi saya rasa ia tidak akan memberi apa-apa manfaat pada hadirin.

Matlamat utama saya adalah membawa mesej ini - bahawa anda (hadirin) perlu memahami bahawa kami orang Islam dan PAS tidak boleh lari daripada hudud kerana ia undang-undang Allah (divine law) tapi dalam masa yang sama kami juga membawa hudud ke dalam masyarakat melalui saluran demokrasi iaitu kami tidak keluar dari prinsip demokrasi. Memandangkan rakyat Kelantan sokong PAS meskipun kami bawa hudud, maka demokrasi menuntut mana-mana orang menghormati hak rakyat Kelantan.

Dr Farouk cuba menyatakan bahawa kononnya PAS cuba diamkam pendapat golongan yang menentang hudud. Saya menjawab bahawa kewujudan forum semalam menunjukkan kita tidak mendiamkan sesiapa. Kita sanggup dengar dan berbahas malahan PAS bukan sahaja tidak diamkan orang menentang hudud, malahan kita juga benarkan komponen kita dalam Pakatan Rakyat buat bising mengenai hudud.

Dr Farouk juga berkata bahawa orang PAS suka menghukum orang yang menentang hudud dan menganggap terkeluar daripada Islam. Saya menghormati pandangan beliau yang tidak setuju hudud kerana kita menghormati hak kebebasan bersuara dalam demokrasi - "I am not going to judge you for what you have said, because I believe in democracy we have to respect a good opinion as well as a lousy opinion, in democracy, as pointed out by one of the Indian judges we are not supposed to sing the same song.”

Apabila Dr Farouk membangkitkan isu rejam kepada penzina, dia semacam menolak hukum rejam ke atas penzina muhsan yang bersumber dari hadith atau al sunnah. Ketika itu saya ingin menyatakan kepadanya (tetapi tidak sempat kerana faktor masa) bahawa perbincangan isu hudud berasaskan saya dan dia menerima bahawa sumber utama undang-undang Islam adalah al-Quran dan al-Hadith. Tetapi jika dia tidak menerima hadith sebagai sumber perundangan Islam, saya berpandangan perdebatan bukan lagi tentang hudud tetapi adakah hadith diterima sebagai sumber perundangan Islam atau tidak?

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment