RTM tangguh siaran wacana, 5 soalan buat menteri

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin malam semalam mendapat makluman daripada RTM bahawa rakaman wacana yang sepatutnya disiarkan malam tadi telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Saya juga mendapat maklumat bahawa rakaman itu masih belum ditonton oleh Menteri Penerangan," ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Pada hari Khamis yang lepas (9 Mei) saya telah dijemput oleh RTM untuk menjadi salah seorang ahli panel program wacana nasional dengan tajuk hudud.

Selain saya, wakil DAP iaitu Ahli Parlimen Kluang, YB Liew Chin Tong, wakil Umno, Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, YB Datuk Che Alwi dan wakil ahli akademik iaitu Dr Zubaidah dari Universiti Malaya juga dijemput menjadi ahli panel. Moderator wacana tersebut adalah Syed Munawwar.

Semasa forum itu saya juga ada menyentuh jika Umno ikhlas dalam isu hudud ini maka Umno perlu jelaskan kepada rakyat mengapakah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibicarakan di bawah undang-undang Islam di Mahkamah Syariah kerana tuduhan ke atas beliau adalah melibatkan kesalahan di bawah undang undang hudud.

Wacana berlangsung selama sejam di mana para ahli panel telah mengemukakan hujah masing-masing dan perbahasan meskipun adakalanya panas namun masih dalam suasana yang harmoni dan tidak beremosi.

Saya harus mengucapkan tahniah kepada tuan moderator yang berjaya menghidupkan dan mengawal suasana perdebatan dengan cemerlang.

Selepas selesai program rakaman kami dimaklumkan rakaman wacana tersebut akan disiarkan tanpa penyuntingan (edit) pada 11 Mei (semalam) jam 11 hingga 12 malam.

Pada malam semalam lebih kurang jam 10 malam saya mendapat makluman dari pihak RTM bahawa rakaman yang sepatutnya disiarkan malam tadi telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Saya juga mendapat maklumat bahawa rakaman itu masih belum ditonton oleh Menteri Penerangan.

Saya dengan ini ingin mendapat penjelasan dari Menteri Penerangan tentang perkara perkara berikut:-

1. Mengapakah siaran wacana tersebut ditangguhkan dan adakah menteri terlibat sama dalam proses penangguhan siaran wacana nasional tersebut?

2. Adakah rakaman wacana itu akan disiarkan selepas ini dan jika ya, bila ia akan disiarkan?

3. Adakah jika rakaman wacana tersebut disiarkan selepas ini, menteri akan memberi jaminan ianya akan disiarkan secara penuh tanpa sebarang penyuntingan (edit) terlebih dahulu ?

4. Adakah menjadi amalan biasa setiap program wacana politik di RTM seperti wacana hudud ini ianya perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan dari pihak Menteri sebelum ianya dibenarkan untuk disiarkan?

5. Mengapakah RTM enggan mengadakan program wacana seperti hudud ini secara langsung (live) bagi menunjukkan pihak Kerajaan benar-benar berpegang kepada amalan demokrasi yang matang dan terbuka?

Sekiranya saya tidak mendapat jawapan dari pihak menteri di atas soalan-soalan di atas saya akan membangkitkan isu ini di dalam Parlimen yang akan bersidang pada 9 Jun ini.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment