Ratusan berhimpun menyesali kekalahan Pakatan dalam ulang tahun PRU13

OLEH ANISAH SHUKRY

Penyokong pembangkang mendengar ucapan semasa perhimpunan 'Remembrance Day of May 5 General Election' berdekatan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 5 Mei, 2014.  
Penyokong pembangkang mendengar ucapan semasa perhimpunan 'Remembrance Day of May 5 General Election' berdekatan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 5 Mei, 2014.  
Kira-kira 300 pemimpin serta penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di Dataran Merdeka malam tadi menjelang 5 Mei, bagi memperingati pilihan raya umum tahun lalu yang menyaksikan mereka berjaya mendapat undi majoriti tetapi masih gagal menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Antara yang berucap termasuklah penasihat DAP Lim Kit Siang dan Anthony Loke di samping 'hero yang kalah', seperti calon DAP di Bentong Wong Tack dan Semenyih S Aruchelvan.

Tema perhimpunan malam tadi adalah kejayaan PR pada 5 Mei dirompak, dan kerajaan BN memperkenalkan GST yang tidak adil selepas tidak sampai setahun mereka menguasai Putrajaya.

"Walaupun puluhan ribu berhimpun pada 1 Mei untuk membantah GST, seorang ahli Parlimen Umno berkata bagaimana kita membantah sekalipun, GST tetap akan dilaksanakan," kata Loke kepada orang ramai yang berkumpul dan menaikkan kertas pemidang anti-GST.

"Inilah sikap besar kepala BN walaupun mereka hanya menang dengan undi minoriti dalam pilihan raya umum lalu," katanya dengan disambut sorakan sokongan.

Sementara itu, aktivis sosial Hishamudin Rais mengingatkan kumpulan kecil yang sangat bersemangat itu bahawa mereka mewakili majoriti rakyat Malaysia.

"Kita adalah majoriti, mereka adalah minoriti. Setahun yang lalu kita ditipu SPR, kerana Pakatan Rakyat yang sebenarnya menang pilihan raya itu."

"Kita tidak ada pilihan melainkan turun ke jalan raya. Saya cadangkan pada Februari atau Mac tahun depan satu juta rakyat turun ke jalan raya sebelum GST dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun, Lim kemudiannya memberitahu peserta yang hadir, mereka bukan sahaja meraikan sambutan kesedihan untuk Pakatan kerana kalah tahun lepas, tetapi juga untuk pertembungan dalaman kerana hudud, undang-undang jenayah Islam.

Usaha PAS untuk melaksanakan undang-undang itu di Kelantan ditentang oleh rakannya daripada DAP yang menegaskan undang-undang jenayah itu bukan sebahagian daripada polisi bersama Pakatan.

"Pada sambutan setahun 5 Mei 2013, DAP merasakan kesedihan kerana mungkin Pakatan akan berpecah kerana hudud. Kita tidak mahu ini berlaku dan kita yakin rakyat juga tidak mahu ini berlaku," kata Lim.

"Tetapi DAP harus kekal dengan perjuangannya yang ditetapkan sejak 48 tahun lalu, yang mahu melahirkan masyarakat yang adil dan bebas."

Beberapa peserta perhimpunan juga sibuk menaikkan kain rentang di tepi jalan bagi meminta kenderaan yang lalu di situ membunyikan hon jika menentang GST.

Bunyi hon yang bertalu-talu membuatkan peserta semakin bersemangat dan menyanyikan lagu DAP, 'Ubah'.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment