Perancangan Jahat Umno Untuk Menipu PAS Dalam Isu Hudud Akhirnya Terbongkar?

Meskipun Umno telah lama berkuasa di mana-mana negeri yang diperintahnya, Umno tidak pernah sesekali membentangkan rang undang-undang hudud.
Menurut Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, Umno tidak pernah berusaha untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai kebaikan dan kelebihan hukum hudud meskipun mereka ada media cetak dan media elektornik.
Katanya, jika dalam isu memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Umno sanggup menggunakan segala prasarana yang ada untuk berkempen agar GST dilaksanakan meskipun terpaksa membelanjakan wang berbillion ringgit.
“Siapa yang menyatakan Umno tidak inginkan faedah politik dalam isu hudud adalah mereka yang naif dalam politik. Umno adalah parti yang boleh berlakon di sebelah pagi menyokong hudud dan di sebelah petang pula menentang hudud,” ujarnya.
Katanya lagi, untuk kenal sikap Umno, kita perlu bandingkan dahulu sejarah PAS dan Umno dalam isu hudud. Dari sejarah, kita boleh buat kesimpulan siapa yang lebih serius dan ikhlas dalam melaksanakan hukum hudud ini.
“Lihat kepada PAS, terdapat dua kerajaan negeri yang dikuasai oleh PAS dan pernah dikuasai PAS iaitu Kelantan dan Terengganu. Kedua-dua negeri ini telah menjalankan tanggungjawabnya untuk menggubal enakmen syariah yang merangkumi undang-undang hudud dan bagi negeri Kelantan, setiap tahun mereka menerangkan tentang hukum hudud kepada rakyatnya,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, ramai pemimpin PAS yang telah berceramah, berforum, berseminar tentang hudud, berdialog dengan mereka yang faham dan yang tidak faham tentang hudud, serta berwacana dengan penyokong dan penentang hudud sejak sekian lama. Malahan penyokong PAS yang bukan Islam dari Dewan Perhimpunan PAS juga tidak ketinggalan menyumbangkan tenaga dalam isu hudud ini.
“Saya masih ingat Kerajaan Negeri Terengganu di bawah PAS pernah mengadakan seminar dan dialog dengan pelbagai kumpulan politik dan bukan politik dengan meminta mereka memberi pandangan dan kritikan terhadap draf enakmen syariah yang PAS ingin bentangkan dalam DUN Negeri Terengganu, malahan pemimpin Umno juga dijemput meskipun mereka tidak hadir."
“Saya juga masih ingat.... saya bersama-sama bekas ADUN Batuk Burok, Datuk Wan Mutalib Embung dan bekas ADUN Manir, Allahyarham Datuk Harun Taib pernah berdialog dengan kumpulan NGO Wanita termasuk Sisters in Islam di Century Paradise, Kuala Lumpur berkenaan isu hudud. Hatta PAS juga telah berdialog dengan DAP dan golongan bukan Islam dalam isu hudud ini, pokoknya PAS sudah buat apa yang terdaya bagi menerangkan dan melaksanakan hukum hudud ini,” ujarnya.
Menurut Hanipa, pihaknya boleh membawa banyak bukti berkenaan kenyataan pemimpin Umno yang memperlekah hudud. Malahan terdapat pemimpin Umno yang sanggup mengugut Kelantan dalan isu hudud dan terdapat juga bekas pemimpin Umno yang mencabar hudud di Mahkamah.
Katanya lagi, baru-baru ini, usul yang dibawa oleh ADUN PAS berkenaan enakmen hudud di Terengganu telah ditolak di Speaker Dewan DUN Terengganu, Mohd Zubir Embong.
“Hal ini jelas memperlihatkan bahawa Umno bukan sahaja gagal untuk berdialog, berseminar, berwacana bagi menerangkan kebaikan hukum hudud kepada rakyat, malahan tidak bersungguh memberi penerangan kepada sekutunya MCA atau Gerakan yang amat bernafsu untuk menghentam hudud dengan sesuka hati."
“Jika DAP menentang hudud kerana berpendapat ianya bercanggah dengan Perlembagaan tanpa menghina hukum hudud, MCA pula memperlekeh hukum hudud sehingga sanggup untuk menjadi rantai manusia bagi menghalang PAS membentangkan rang undang-undang persendirian Ahli Parlimen di Parlimen dan hingga kini, kita tidak dengar reaksi pemimpin Umno termasuk Presidennya menegur gelagat MCA dan Gerakan,” ujarnya.
Tambah Hanipa lagi, kini secara tiba-tiba Umno mengubah strateginya dalam isu hudud. Umno sedar isu hudud amat mudah untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat (PR) maka Umno tukar skrip dan tukar watak. Dari watak penjahat, kini Umno cuba berwatak hero dalam isu hudud. Ianya semata-mata untuk ‘melariskan tiket wayang’ tetapi masih ‘bermain wayang’. Bukankah parti sekular seperti Umno berpegang kepada motto matlamat menghalalkan cara.
Jelasnya, adegan pertama watak ‘hero’ Umno dalam wayang gambar ini adalah mencabar PAS untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi memberi laluan kepada Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan hudud.
Katanya, apabila adanya respon dari Kelantan, maka diteruskan adegan kedua iaitu pemimpin tertingi Umno menziarahi tokoh-tokoh Pas dan adegan ketiga ‘watak hero’ ini adalah mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Bersama. Bagaimanapun dalam wayang gambar itu juga ‘si hero’ telah membiarkan rakan sekutunya MCA dan Gerakan mengamuk menyerang PAS dan hudud.
“Bagi mereka yang naif politik akan menyatakan kepada PAS bukankan Umno sudah beri peluang mengapa PAS tidak gunakan ruang yang diberi. Ya, benar Umno beri ruang tapi diberi ruang yang sempit ibarat menyuruh PAS menggunakan jalan sempit dan berliku kerana proses pembentangan rang undang-undang persendirian berliku-liku jalannya."
“PAS perlu mendapat persetujuan menteri dan ia juga tidak boleh mengatasi urusan Kerajaan termasuk usul-usul lain. Prosedur terperinci boleh dilihat dalam Artikel 67 Perlembagaan Persekutuan dan Aturan 49 Peraturan Mesyuarat. Pas pernah melalui Presidennya bentang rang undang-undang persendirian mengenai murtad untuk Wilayah Persekutuan, ia bukan sahaja tidak dapat sokongan menteri malahan diletakkan di senarai paling bawah dalam aturan mesyuarat Parlimen,” katanya.
Ujarnya lagi, jika Umno serius dalam membantu Kelantan, kita berhak bertanya mengapakah Umno sendiri enggan membawa rang undang-undang Kerajaan sepertimana rang undang-undang lain yang biasa dibentangkan di Parlimen.
“Ianya lebih mudah dan pasti akan berjaya kerana jika undang-undang dibawa oleh Kerajaan ia wajib disokong oleh semua parti komponen Umno termasuk dari Sabah dan Sarawak. Maka jika sekalipun DAP dan PKR tidak menyokong ia masih akan lulus,” ujarnya.
Sebab itu selama ini jika kerajaan kemukakan rang undang-undang di Parlimen meskipun dalam perbahasan, rakan sekutu Umno kadangkala mengkritik rang undang-undang itu tetapi mereka akhirnya masih mengundi rang undang-undang tersebut. Hal ini kerana jika mereka menolak rang undang-undang yang dibawa oleh Kerajaan akan berlakunya undi tidak percaya dan mungkin Parlimen terbubar.
Jelasnya lagi, keadaan yang sama tidak berlaku bagi rang undang-undang persendirian. Jika PAS yang bawa rang undang-undang persendirian, Umno tidak perlu dan tidak wajib pastikan rakan-rakan sekutunya seperti MCA, Gerakan, MIC dan ahli-ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak menyokong rang undang-undang yang PAS akan bawa.
“Maka jika Umno sokong sekalipun rang undang-undang itu tanpa sokongan dari sekutu mereka maka hasrat untuk melihat rang undang-undang itu diluluskan ibarat kata Mat Sabu seperti menunggu ikan keli tumbuh sisik."
“Di sinilah kita mempunyai 1001 sebab untuk percaya Umno hanya bersandiwara dalam isu ini dan jika Umno serius dalam isu hudud ini lupakan rang undang-undang persendirian sebaliknya Umno perlu bawa rang undang-undang kerajaan yang mana dikuasai mereka ketika itu barulah kewujudan Jawatankuasa Teknikal adalah relevan dan bermakna,” ujarnya.

Sumber Berita Dari Blog Addin

No comments:

Post a Comment