PENGISYTIHARAN DR HARLINA HALIZAH HJ SIRAJ BAHAWA BELIAU ADALAH KETURUNAN KAUM PENDATANG

PENGISYTIHARAN :

Saya Dr Harlina Halizah Hj Siraj, adalah berketurunan kaum pendatang dari Pulau Jawa. Mbah lanang sebelah Bapak, Almarhum Hj Abd Rahman bin Ehsan berasal dari Desa Sambilawang, Ponorogo Jawa Timur & Mbah lanang sebelah Mbok saya, Almarhum Kiyai Hj Anuar bin Ramli berasal dari Desa Jambul, Purworejo, Jawa Tengah.

Akhir Feb lalu, saya dan keluarga berziarah ke desa kelahiran Mbah Kiyai Anuar di Purworejo Jawa Tengah - sebagai seorang pelancong yang mahu menjalin ukhuwwah. Tidak mungkin saya akan kembali untuk menetap di sana.

Malaysia adalah tanah tumpah darah saya. Datuk nenek saya berhijrah ratusan batu, merentas lautan hampir seratus tahun yang lalu, untuk berkongsi kehidupan dengan insan lain di atas bumi milik Allah SWT ini.

Setiap kali ada suara sumbang menuntut `kaum pendatang' untuk sedar diri & mendesak agar mereka yang tak berpuashati dengan keadaan di negara ini untuk kembali ke tempat asal nenek moyang mereka - hati saya terhiris luka. Jiwa saya merintih sesal dan akal saya tertanya-tanya : Indoktrinasi apakah ini yang menghasilkan manusia sombong & bongkak?

Jikalah tidak kerana migrasi pedagang Arab ke nusantara, Islam yang dibanggakan ini tentunya bukan anutan kita! Sampai bila mahu menyalahkan orang lain, sedangkan kelemahan itu memang berpunca dari diri sendiri yang tak pernah mahu belajar memuhasabah diri?

SIAPA DR HALINA HALIZAH HJ SIRAJ INI....???
Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj atau lebih mesra sebagai Dr Har dilahirkan di Sungai Besar, Selangor. Beliau bertugas sebagai pakar perunding Obstetriks & Ginekologi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Beliau juga menjawat jawatan Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Dr Har merupakan isteri kepada Ustaz Zulkifli Ahmad serta ibu kepada empat orang cahaya mata, seorang telah meninggal dunia.

Dr Har gemar melakukan khidmat masyarakat dan kerja-kerja sukarelawan selain menumpahkan khidmat sebagai pakar di hospital.

Selain itu, Dr Har pernah muncul di beberapa media. Antaranya sebagai tetamu jemputan di rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), Wanita Hari Ini (WHI), Al-Kuliyyah dan Al-Hidayah di TV3, Keluarga di 9, Nasi Lemak Kopi O dan Halaqah di TV9, Selamat Pagi Malaysia (SPM) dan Fast Forward di RTM, Bersama Linda Onn di Astro. Dr Har juga merupakan panel berkala Wanita Hari Ini di radio IKIM, motivator di radio KL.fm dan kolumnis di majalah ANIQAH, Majalah 'i' dan media lain yang diterbitkan oleh Karangkraf.


Sumber Berita Dari Blog Omak Kau

No comments:

Post a Comment