PAS dan Umno tidak perlu bergabung kerana hudud, kata MB Kelantan

PAS tidak perlu bergabung dengan Umno, yang dilihat menyokong cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, sebaliknya kedua-dua parti perlu komited untuk melaksanakan hukum Islam itu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob (gambar) berkata hukum hudud adalah tuntutan dalam Islam dan isu penggabungan kedua-dua parti itu tidak perlu dibangkitkan langsung.

"Yang penting Majlis Tertinggi yang dianggotai orang Muslim (PAS dan Umno) perlu tunjukkan satu komitmen yang mereka mahu undang-undang Islam, itu sahaja."

"Tiada isu yang berbangkit sehingga PAS perlu masuk Umno atau Umno masuk PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-4 Pertubuhan Kebajikan Penyokong Setia Tok Guru, di Dewan Jubli Perak di Kota Baharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Facebooknya yang menyebut PAS tidak akan bergabung dengan Umno walaupun Umno bersetuju untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Ahmad berkata beliau turut menyangkal kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa cadangan pelaksanaan hukum hudud tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakyat Kelantan.

"Saya tidak lihat begitu, mungkin mereka melihat dalam konteks yang berbeza. Peratusan orang Islam di negeri ini adalah 95 peratus berbanding negeri-negeri lain yang terdiri daripada 40% orang bukan Islam."

"Mungkin bagi mereka agak susah. Kita tidak fikir benda ini menjadi satu penghalang, kita mempunyai 95% orang Islam di negeri ini," katanya.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment