MP Umno selar Gerakan, anggap hina Islam

 
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyelar Ketua Wanita Gerakan Tan Lian Hoe berhubung kenyataan dan komennya mengenai hudud yang boleh dianggapnya "menghina hudud dan Islam itu sendiri".

Reezal turut memberi amaran kepada pemimpin komponen BN agar tidak mengeluarkan komen "melampau" mengenai undang-undang jenayah Islam itu kerana boleh mencetuskan kemarahan umat Islam.

"Tan Lian Hoe (kanan) dan mana-mana pimpinan komponen BN mesti sedar, komen yang melampau mengenai hudud mungkin sahaja menimbulkan kemarahan kalangan umat Islam secara keseluruhannya."

"Komen kononnya hudud akan membela perogol sebagai contoh adalah satu ulasan yang sangat kasar dan tidak berasaskan kepada fakta yang sebenar."

"Hudud mestilah dilihat secara keseluruhan dan bukan melalui perspektif hukuman semata-mata seperti yang diberikan ulasan oleh Tian Lian Hoe," tegasnya dalam satu kenyataan.

Reezal mengulas kenyataan Tan yang dilapor berkata pelaksanaan hudud boleh menyebabkan wanita dan kanak-kanak terdedah kepada rogol oleh lelaki Islam.

'Akan tempuh jalan sukar'

Dalam sidang medianya minggu lalu, Tan antara lain berkata di negara Pakistan yang melaksanakan hukum itu, wanita yang dirogol sukar membuktikan kes kerana memerlukan empat orang saksi.

Katanya lagi, adalah mustahil jika perogol yang sedang melakukan perbuatan itu akan memanggil orang ramai untuk melihat tindakan mereka.

Sehubungan itu, Reezal yang juga ahli parlimen Kepala Batas mengingatkan supaya pemimpin komponen BN agar lebih berhati-hati membuat kenyataan mengenai hudud.

Ini kerana, katanya, ulasan dan komen yang "tidak berlapik, bersifat semberono dan singkat ilmu" akan menggagalkan usaha perbincangan mengenainya dalam masyarakat.

"Batas antara memberi komen mengenai hudud sekali gus menghina Islam itu jangan sesekali dilanggar dan diambil sambil lewa."

"Sebagai pemimpin, kita perlu sensitif dengan banyak perkara dan hal."

"Jika asas ini pun gagal difahami oleh pemimpin parti komponen, kita akan menempuh jalan yang sukar," katanya. 


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment