MCA hipokrit dalam isu Terengganu, kata DAP

OLEH JAMILAH KAMARUDIN

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) membidas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung soal meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi merujuk kepada krisis politik yang berlaku di Terengganu.

Katanya, kenyataan Liow yang merujuk kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu termasuk bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas sebagai tidak berprinsip, tidak jujur dan bercanggah dengan amalan MCA.

"Kenapa MCA tidak cakap perkara sama apabila tiga Adun daripada Pakatan Rakyat (PR) lompat parti dan menyokong Barisan Nasional (BN) dan membiarkan rampasan kuasa di Perak terjadi semasa tahun 2009," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Liow, semasa sambutan Hari Wesak di Kuala Lumpur semalam, dilaporkan berkata, Ahmad dan dua lagi Adun Bebas tidak sepatutnya menjadikan Terengganu sebagai taruhan, sebaliknya perlu sentiasa memberikan khidmat kepada rakyat selepas diberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurut Liow, MCA berharap agar Barisan Nasional dapat mengambil tindakan pantas untuk menstabilkan semula kerajaan Terengganu, jika tidak serahkan saja kepada rakyat untuk menentukannya dengan pilihan raya negeri.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment