Malaysia belum kondusif untuk laksana hudud, kata Asri

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Mantan Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (dua dari kiri) antara panel dalam wacana siri ke-27 yang bertajuk Hudud: Bersediakah Kita di Auditorium Krangkraf Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 Mei, 2014. 
Mantan Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (dua dari kiri) antara panel dalam wacana siri ke-27 yang bertajuk Hudud: Bersediakah Kita di Auditorium Krangkraf Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 Mei, 2014. 
Malaysia masih mempunyai banyak masalah dari aspek rasuah sehingga jenayah sekaligus menyaksikan pelaksanaan hudud bakal menyukarkan keadaan, kata mantan Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Asri ketika wacana Sinar Harian di Auditorium Karangkraf di Shah Alam berkata, umat Islam sememangnya menyokong Kelantan untuk melaksanakan hudud namun perkara itu perlu diperhalusi agar tidak menjadi mudarat.

"Sebagai Muslim kita percaya undang-undang ini jika diberi mencapai maksud keadilan membawa kepada kebaikan manusia sejagat."

"Sebagai orang Islam kita perlu dukung hasrat Kelantan. Tetapi kita kena bincang bagaimana ia tidak menjadi mudarat," katanya.

Untuk melaksanakan hudud, Kelantan jelas Asri perlu menyediakan "landasan yang jelas" kerana jika berlaku kesilapan, ia bakal menyebabkan komuniti bukan Islam menjauhi umat Islam.

"Nak buat hudud, 'landasan' mesti jelas. Saya bersama Kelantan dari sudut kehendak. Kepada pelaksanaan, saya bimbang, ibaratnya kita ada 'pintu yang sangat cantik, tetapi pasang di reban."

"PAS perlu duduk dan bincang balik soal hudud. Ini bukan soal tidak bersetuju dengan hudud," katanya.

Selain Asri, turut hadir sebagai panel dalam wacana siri ke-27 itu termasuklah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia Dr Mushaddad Hasbullah.

"Buat undang-undang itu jangan sampai orang salah tafsir terhadap Islam," kata Asri lagi.

Asri ketika sesi wacana yang berlangsung selama dua jam itu turut menegaskan, hukuman yang dikenakan terhadap pesalah seharusnya tidak mengenal pangkat, sebaliknya keadilan tanpa mengira pangkat dan darjat.

"Jangan ada mahkamah khusus. Biar satu mahkamah adili raja, sultan, rakyat."

"Jangan curi kayu kena, curi kayu balak tidak kena," katanya lagi.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment