Lagi keluar Umno, kerajaan minoriti di Trengganu

 
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi Roslee Daud mengisytiharkan keluar Umno dan bertindak sebagai wakil rakyat bebas.

Roslee (kanan) yang juga exco kemajuan luar bandar negeri dalam salinan surat bertarikh 12 Mei yang dihantar kepada Bernama pagi ini berkata:

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta merta."

Awal hari ini, bekas menteri besar Terengganu dan ADUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said dan ADUN Ajil Ghazali Taib juga mengisytiharkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Ahmad meletak jawatan sebagai menteri besar Terengganu tidak lama selepas penggantinya Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Bercakap kepada Malaysiakini awal pagi tadi, Ahmad menjelaskan beliau keluar Umno ekoran tidak puas hati dengan masa pertukaran menteri besar yang dibuat beberapa hari sebelum perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini.

Dengan perkembangan terbaru itu, BN kini mempunyai 14 kerusi DUN diikuti PAS (14), PKR (satu), sekali gus mewujudkan sebuah kerajaan minoriti di negeri itu.

Sebelum krisis ini, BN mempunyai 17 wakil dalam DUN berbanding Pakatan Rakyat dengan 15 anggota.

Jika tiga bekas ADUN Umno itu memilih menyokong Pakatan, kerajaan negeri akan jatuh ke tangan pembangkang, situasi yang hampir sama dengan krisis di Perak sebelum ini apabila BN merampas negeri itu.

Ahmad semalam berkata, lebih ramai lagi ADUN negeri itu akan mengikuti langkahnya, walaupun tidak menyatakan bilangan tepat.

Sementara itu, Bernama melaporkan, badan perhubungan PAS Terengganu mengadakan mesyuarat khas di Kuala Terengganu berikutan perkembangan politik terbaru yang sedang berlaku di negeri ini.
  
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu Satiful Bahri Mamat hari ini berkata pemimpin PAS Terengganu mengikuti dengan teliti perkembangan yang berlaku ini dari awal dan tindakan yang perlu sedang diambil.

"Insya-Allah, atas kepentingan seluruh rakyat, kita akan memutuskan perkara yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini," katanya dalam satu kenyataan.
  
Satiful Bahri berkata bagi pihak pemimpin PAS, beliau berharap semua pihak bertenang dan bersabar.
  
Dari semasa ke semasa, PAS Terengganu akan membuat pemberitahuan kepada media, melalui media rasmi, bagi mengelakkan sebarang khabar angin dan kenyataan-kenyataan di luar daripada keputusan pemimpin, katanya. 


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment