Ketua polis negara sahkan presiden Isma disiasat bawah Akta Hasutan
OLEH ANISAH SHUKRY

Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman disiasat polis kerana kenyataan kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu adalah penceroboh. Gambar fail The Malaysian Insider. Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman disiasat polis kerana kenyataan kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu adalah penceroboh. Gambar fail The Malaysian Insider.Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman disiasat mengikut Akta Hasutan susulan kenyataan dikeluarkannya berhubung kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu adalah "penceroboh".

Khalid dalam satu kenyataannya berkata, Abdullah sedang disiasat berikutan kenyataannya itu.

Khalid  juga memberi amaran akan bertindak kepada mana-mana pihak yang cuba membuat kenyataan yang mengapikan permusuhan.

"Nasihat saya kepada semua adalah berhati-hati dalam membuat kenyataan yang boleh membawa kepada ketegangan kaum dalam negara ini," katanya.

Abdullah dikritik hebat hari ini apabila ahli politik Cina daripada kedua-dua kumpulan politik meluahkan kemarahan atas kenyataan kumpulan itu terhadap masyarakat Cina di negara ini.

Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong mendesak polis menyiasat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kerana mengatakan kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu adalah "penceroboh" kerana kenyataan seperti itu berbahaya kepada masyarakat .

"Apabila anda membuat tuduhan seperti itu, sudah tentu anda akan mendapat reaksi. Masyarakat Cina akan marah, keseluruhan MCA marah dengan kenyataan ini," kata Ahli Parlimen Barisan Nasional Ayer Itam itu kepada The Malaysian Insider, hari ini.

"Ia tidak baik, ia tidak boleh diterima dan pihak berkuasa perlu menyiasat Isma . Malah, penyiasatan ini sudah lambat dan polis tahu undang-undang terbaik untuk menyiasat mereka,” katanya.

Beliau berkata, presiden Isma gagal memahami sumbangan orang Cina kepada negara ini dan menggesa beliau menghentikan menyamakan seluruh komuniti itu.

"Abdullah, jangan sekali-kali fikir orang Cina adalah orang jahat. Kami bekerja keras, dan kami anggap negara ini adalah satu-satunya negara kami, tidak ada tempat  lain lagi untuk kami pergi."

"Apabila warga internet di China menyerang Malaysia (ekoran kehilangan pesawat MH370), mereka tidak mengecualikan Cina Malaysia kerana mereka tahu kita adalah sebahagian daripada Malaysia, ini adalah negara kita,” kata Wee.

Pemimpin Umno, bekas Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah juga kesal dengan kenyataan Abdullah dan menggesa polis menyiasatnya.

"Hentikan sentimen anti-Cina dan anti-Kristian sebelum ia bertukar kepada sesuatu yang lebih teruk. Pihak berkuasa perlu menyiasat, " katanya melalui akaun Twitternya, hari ini.

Abdullah Zaik berkata, orang Cina yang datang ke Tanah Melayu adalah "penceroboh" dan mempersoalkan kerakyatan dan kekayaan yang diberikan kepada mereka tetapi tidak menyatakan bagaimana ia bercadang untuk membetulkan yang dikatakan salah ini.

"Siapa yang memberikan mereka kewarganegaraan dan kekayaan sehingga keputusan menceroboh mereka dilindungi sehingga hari ini?"

"Ini semua perlakuan British, yang berada dalam kumpulan yang sama dengan China untuk menindas dan membuli orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan, seperti yang dilaporkan di laman web kumpulan itu.

Abdullah berkata, ini adalah satu kesilapan yang terpaksa diperbetulkan tetapi beliau tidak mengatakan bagaimana.

"Tiada siapa yang mempunyai hak untuk menggadaikan kedaulatan Islam dan Melayu di atas tanah ini," katanya, semalam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata DAP mengutuk "pembohongan berbahaya" Isma ini yang mengajak kepada pelampau agama dan kaum.

Beliau menyamakan bahasa kumpulan itu dengan yang digunakan terhadap minoriti Rohingya Islam untuk mewajarkan penindasan masyarakat itu di Myanmar.

"DAP juga mengutuk peguam negara kerana gagal bertindak terhadap kenyataan rasis ini dan berfikiran sempit dalam agama yang menggunakan bahasa keganasan, kerajaan BN kelihatan secara tidak langsung menggalakkan kebencian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pembohongan Isma ini mempunyai kecenderungan menghasut di bawah Seksyen 3 (1) Akta Hasutan, dengan menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan yang berlainan dalam Malaysia.

Lim berkata, Isma juga mempersoalkan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan semua rakyat Malaysia.

"Bagaimana peguam negara boleh layak untuk memegang jawatan itu dan berfungsi secara saksama untuk menegakkan undang-undang apabila wujudnya persendaan double standard, " kata Lim.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, berkata parti itu akan memastikan tindakan dibuat terhadap Isma dengan membuat laporan polis terhadap Isma di seluruh negara hari ini.

"Komen bukan saja sangat tidak sensitif dan menghasut, tetapi penyelewengan fakta sejarah. Ini adalah pelampau yang cuba menghancurkan keharmonian antara kaum di negara ini," kata ahli Parlimen Seremban itu.

"Kewujudan mereka adalah ancaman kepada masyarakat Malaysia sendiri, dan jika dibiarkan, boleh membawa kepada jenayah kebencian di negara ini. Kerajaan mesti menghentikan ini dengan segera," katanya.

Loke berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menteri Kabinet perlu melangkah ke depan dan mengutuk kenyataan Isma itu untuk memastikan NGO ini dikawal.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang, berkata polis berat sebelah jika gagal menyiasat Isma, selepas polis menyiasat dan mendakwa Naib Pengerusi  DAP, Teresa Kok atas dakwaan menghasut melalui video sinikalnya.

"Kenyataan Isma menyebabkan perasaan negatif meningkat di kalangan masyarakat, terutama di kalangan masyarakat Cina dan Melayu, dan ia pasti memerlukan siasatan polis."

"Jika polis tidak mengambil tindakan, ia akan dilihat sebagai double standard kerana sebelum ini mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap Kok," kata Tan kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Abdullah perlu disiasat di bawah Akta Multimedia, kerana komen diberikan di laman web Isma sendiri.

"Saya tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Hasutan kerana saya tidak fikir Kok patut dikenakan tindakan di bawah akta itu. Jadi pilihan yang jelas adalah Akta Multimedia."

"Isma hanya perlu diam, atau kurang bercakap. Semakin mereka bercakap, lebih banyak orang benci Isma," kata Tan.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment