Kes Presiden PAS, timbalan saman Mashitah selesai

KUALA LUMPUR: Dua kes saman yang melibatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Mohamad Sabu terhadap Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan dua lagi berhubung penyiaran artikel dalam kolum 'Langit Terbuka' akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Mac 2012, hari ini diselesaikan secara baik.
  
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yeoh Wee Siam merekodkan penghakiman persetujuan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Abdul Hadi dan Mohamad Sabu serta peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay yang mewakili Mashitah.

Mohamed Hanipa yang memaklumkan perkara itu kepada pemberita bagaimanapun enggan mendedahkan terma-terma penyelesaian yang dicapai kedua-dua pihak.

Kedua-dua kes itu dijadualkan dibicara secara serentak hari ini.

Dalam kes saman pertama yang difailkan Abdul Hadi pada 18 Sept 2012,  menamakan Mashitah defendan pertama manakala penerbit dan pencetak akhbar Sinar Harian, Sinar Karangkraf Sdn Bhd dan Ultimate Print Sdn Bhd masing-masing defendan kedua dan ketiga.  

Dalam pernyataan tuntutan Abdul Hadi antaranya mendakwa defendan pertama telah mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya dalam kolum beliau 'Langit Terbuka' yang kemudiannya diterbit dan dicetak oleh defendan kedua dan ketiga.

Dakwanya, kata-kata fitnah yang ditulis itu antara lainnya menunjukkan, plaintif seorang yang tidak bermoral dan tidak layak untuk menjadi pemimpin parti.

Dalam kes kedua yang difailkan pada 25 Sept 2012, Mohamad menyaman Mashitah berhubung penyiaran artikel yang sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad menyatakan kata-kata fitnah itu antaranya menggambarkan beliau telah mendedahkan auratnya di hadapan seorang perempuan yang bukan mahram, melakukan perbuatan yang jijik, tidak bermoral dan pemimpin Islam yang rendah akhlaknya.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment