Kerajaan Pakatan Selangor dikritik hebat dalam taklimat Lebuhraya Kidex

OLEH DIYANA IBRAHIM

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua memberi penjelasan berhubung bantahan penduduk terhadap Lebuhraya Kidex, di Petaling Jaya, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Mei, 2014.Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua memberi penjelasan berhubung bantahan penduduk terhadap Lebuhraya Kidex, di Petaling Jaya, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Mei, 2014.
Sesi taklimat projek Lebuhraya Damansara-Kinrara (Kidex) yang dihadiri kira-kira 50 penduduk di Petaling Jaya malam tadi berlangsung dalam suasana tegang apabila kebanyakannya mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor kerana bersetuju dengan pembinaan laluan alternatif tersebut.

Kebanyakan penduduk berpendapat tindakan kerajaan negeri itu melanggar janji yang dibuat kepada rakyat  dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Kita kecewa dengan pendirian kerajaan negeri Selangor terutama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersetuju dengan pembinaan Lebuhraya Kidex."

"Ia melanggar mandat yang kami beri kepada PR semasa mengundi ketika PRU13 lalu," kata seorang penduduk pada taklimat malam tadi.

Sepanjang sesi taklimat anjuran Jawatankuasa Tidak Kepada Kidex itu, penduduk yang hadir tidak putus-putus bertanyakan soalan dan meluahkan kebimbangan dengan pembinaan lebuh raya tersebut.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang hadir pada sesi taklimat tersebut juga tidak terkecuali menjadi sasaran penduduk yang mahukan penjelasan daripada kerajaan Selangor.

Pua berkata, kelulusan diberikan Selangor dalam pembinaan projek lebuh raya itu secara dasarnya masih belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana banyak lagi proses yang perlu dilalui.

"Dasar prinsip perjanjian pembinaan Lebuhraya Kidex masih belum dimuktamadkan sepenuhnya. Masih ada ruang bantahan dan ia perlu dilakukan bersama dengan memberi desakan kepada kerajaan negeri, ahli majlis dan Kementerian Kerja Raya untuk menghentikan projek tersebut," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Tidak Kepada Kidex, David Yoong mendakwa pembinaan lebuh raya itu sebenarnya langsung tidak memberi manfaat kepada penduduk.

"Ia tidak akan menyelesaikan kesesakan trafik di Petaling Jaya seperti yang dikatakan malah mereka juga masih belum mendedahkan dokumen penting termasuk kajian penilaian kesan trafik," katanya.

Yoong juga mengkritik kerajaan Selangor dan mempersoalkan janji Manifesto PRU13 PR yang mengatakan ia akan mengambil alih lebuh raya secara berperingkat bagi tujuan menghapuskan tol.

Menjawab kritikan itu, Pua berkata, pengambilalihan konsesi lebuh raya dapat dilakukan sekiranya PR merampas Putrajaya.

Beliau berkata, terdapat tiga syarat yang perlu dipenuhi oleh syarikat pemaju, Kidex Sdn Bhd dan masih gagal dilaksanakan.

"Pemaju perlu mendedahkan laporan penilaian kesan trafik dan alam sekitar kepada Majllis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)."

"Projek ini harus mendapat persetujuan bersama penduduk dan ia tidak boleh menjadi seperti Lebuhraya Damansara-Puchong yang kini berdepan kesesakan teruk akibat perancangan yang gagal," katanya.

Taklimat berakhir dengan semua penduduk yang hadir bersetuju untuk terus membantah pembinaan lebuh raya bertingkat itu.

Mereka berkata, sekalipun ditawarkan pampasan, mereka tetap tidak akan berganjak dengan pendirian selain mengancam tidak akan mengundi PR dalam pilihan raya umum akan datang jika Selangor meneruskan projek itu.

Jawatankuasa Tidak Kepada Kidex merupakan sebuah gerakan yang ditubuhkan bertujuan membantah pembinaan projek lebuh raya tersebut.

Selain memberi penerangan, jawatankuasa itu juga berusaha mengumpul tandatangan daripada penduduk di seluruh Petaling Jaya yang terkesan dengan pembinaan projek tersebut.

Pembinaan Kidex, sepanjang 14 kilometer, dijangka bermula tahun depan dengan anggaran kos RM2.2 bilion.

Kidex dijangka akan memakan masa selama 4 tahun untuk disiapkan.

Lebuhraya Kidex akan menghubungkan persimpangan Damansara-NKVE di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di utara ke Bandar Kinrara di selatan.

Ia dijangka dapat mengurangkan waktu perjalanan antara Damansara dan Kinrara sehingga 25%, dan mengurangkan jumlah trafik sehingga 50% di kedua-dua arah dari Puchong ke Petaling Jaya. Bilangan trafik dijangka dapat dikurangkan sebanyak 30% dari Taman Tun Dr Ismail, NKVE dan Bandar Utama ke Petaling Jaya.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment