Keanehan buku: Melayu haram, Inggeris halal

 
Kenapa ada sesetengah buku diharamkan dalam bahasa Melayu, namun dibenarkan dalam bahasa Inggeris?

Menurut laman web Kementerian Dalam Negeri, terdapat sejumlah 1,532 penerbitan yang diharamkan.

Antara contoh penerbitan terbaru yang terpaksa berdepan dengan kemarahan kerajaan pula adalah komik bertajuk Ultraman the Ultra Power.

Tindakan mengharamkan buku atas apa-apa alasan pun langsung tidak munasabah, namun terdapat perkembangan terkini yang lagi sukar difahami.

Nampaknya, terdapat sesetengah buku tertentu yang diharamkan hanya dalam bahasa Melayu, manakala tidak ada sebarang halangan dalam versi bahasa Inggeris.

Satu contoh adalah buku penting, The Origin of Species karya Charles Darwin, yang sedia dijual di kebanyakan kedai buku di Malaysia.

Bagaimanapun, terjemahannya dalam bahasa Melayu, iaitu Asal-usul Spesies, disenaraikan sebagai buku terlarang di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Buku terkenal Charles Darwin ini bukan satu-satunya penerbitan yang mengalami nasib yang menyedihkan ini.

Satu contoh lain adalah karya Karen Armstrong, Islam: A Short History, yang boleh didapati secara mudah di kedai-kedai buku dan perpustakaan universiti di Malaysia, manakala Sepintas Sejarah Islam, terjemahan dalam Bahasa Melayu, juga disenaraikan sebagai buku terlarang.

'Memudaratkan ketenteraman awam'

Dalam sesi Parlimen yang lepas, saya mengemukakan soalan mengenai The Origin of Species, dengan mempersoalkan mengapa terjemahan buku ini dalam bahasa Melayu diharamkan manakala versi Bahasa Inggeris dibenarkan.

Menurut jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri, buku tersebut diharamkan kerana ia “memudaratkan ketenteraman awam.”

Mengulas lanjut, menteri juga menyatakan bahawa “buku terjemahan tersebut memberi gambaran mengenai asal-usul penciptaan makhluk yang bertentangan dengan ajaran Islam dan didapati bercanggah dengan Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Berunsur Islam serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan umat Islam di negara ini.”

Sementara itu, versi bahasa Inggeris pula dibenarkan kerana Kementerian Dalam Negeri “tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung wujudnya percanggahan dari aspek agama Islam terhadap buku asal....” mengikut garis panduan yang sama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Penjelasan oleh Menteri Dalam Negeri bukan sahaja benar-benar tidak masuk akal, malah merupakan suatu penghinaan terhadap kebijaksanaan rakyat Malaysia.

Bagaimanakah mungkin buku yang sama boleh dianggap sebagai memudaratkan ketenteraman awam dan menyalahi ajaran Islam dalam satu bahasa, tetapi boleh diterima dalam bahasa yang lain?
 

Lebih teruk lagi, menteri dalam negeri juga seolah-olah memberitahu rakyat Malaysia bahawa pengetahuan hanya boleh diperoleh mereka yang celik bahasa Inggeris.

Adakah menteri bermaksud bahawa rakyat Malaysia yang hanya mampu bertutur dan membaca dalam bahasa Melayu dianggap tidak cukup matang untuk berfikir secara sendiri?

Oleh kerana kebanyakan mereka yang jatuh ke dalam kategori ini merupakan orang Melayu, maka persoalan timbul sama ada terdapat satu dasar yang sengaja ingin menjahilkan orang Melayu.

Diskriminasi yang dilakukan ini bukan sahaja keji, ia juga tidak berkesan langsung kerana buku dan pengetahuan kini boleh dicapai dengan mudah di Internet.

Justeru, saya menyeru menteri dalam negeri untuk menghapuskan sekatan terhadap penjualan dan pengedaran segala penerbitan, dan dengan segera menghentikan penindasan intelektual kepada rakyat Malaysia.



ZAIRIL KHIR JOHARI ahli Parlimen Bukit Bendera dan penolong setiausaha publisiti DAP Kebangsaan.

Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment