Jangan pesong fakta GST, pesan Najib

 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun menyelar pihak tidak bertanggungjawab yang didakwanya cuba memesongkan fakta mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Walhal pada hakikatnya, kata Najib, cukai baru itu meningkatkan pendapatan negara dan tidak membebankan rakyat, lapor Bernama.

Katanya, rakyat tidak perlu bimbang dengan GST kerana kebanyakan barangan keperluan dan perkhidmatan asas harian dikecualikan.

"Sebagai contoh, barangan seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak, ikan masin, tambang bas, kereta api, LRT, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan tidak dikenakan cukai itu," katanya dalam ucapan bersempena majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hari ini.

GST bakal dilaksanakan pada kadar enam peratus pada 1 April 2015, bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Ia bertujuan memperteguhkan ketahanan ekonomi negara bagi jangka masa panjang.

Najib, yang juga menteri kewangan, memberi jaminan bahawa beliau akan sentiasa mendengar maklum balas dari rakyat tentang keputusan melaksanakan GST itu.

"Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyebarluaskan fakta yang benar mengenai GST melalui penganjuran seminar dengan memanggil pelbagai pihak, terutama daripada negara-negara yang telah berjaya dalam cukai ini, supaya rakyat dapat kefahaman yang sebenar dan sahih," katanya.

Pencapaian GTP

Berikut inti pati pencapaian Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2013:

* Lebih 6.8 juta rakyat Malaysia berpendapatan rendah diberikan bantuan tambahan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

* 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi menerima baucar buku bernilai RM250 menerusi inisiatif Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).

* 5.2 juta pelajar sekolah rendah dan menengah menerima bantuan RM100 bagi membantu perbelanjaan "kembali ke sekolah" dan perbelanjaan lain.

* 40 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dibina pada 2013 bagi memperluaskan skop penyampaian produk KR1M kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Kini ada sejumlah 125 KR1M di Malaysia.

* 70 Klinik 1Malaysia dibina pada tahun 2013 bagi menyediakan rawatan perubatan yang mampu dibiayai oleh rakyat. Sejumlah 238 Klinik 1Malaysia diwujudkan sejak 2010 dan 9.2 juta pesakit telah menerima rawatan.

*1,110 pengendali makanan menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia pada tahun 2013.

* 11,021 rumah luar bandar dibina dan dibaik pulih, 31,004 isi rumah luar bandar disambungkan dengan bekalan air bersih, 19,996 isi rumah luar bandar disambungkan dengan bekalan elektrik, 1,241km jalan raya luar bandar disenggara dan 719km jalan raya luar bandar dibina.

* Peningkatan selang waktu perjalanan bagi KTM Komuter daripada 30-45 minit kepada setiap 15 minit pada waktu puncak pagi, laluan Bas Aliran Deras (BRT) yang terpanjang di Lembah Klang diluluskan, 18,000 penumpang menggunakan perkhidmatan percuma GO KL setiap hari dan Hentian Akhir Bandar (HAB) bas baru di Pasar Seni dan Munshi Abdullah.

* 38,663 peserta baharu dalam program 1AZAM di bawah inisiatif utama NKRA LIH, melengkapkan pembangunan 1,000 orang usahawan wanita, pembinaan rumah dan tempat tinggal kepada golongan kurang berkemampuan menerusi kerjasama NGO dan rakan-rakan korporat, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah di Sarawak dan Sabah.

* 24 buah sekolah rendah sekolah menengah dianugerahi status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), merintis instrumen penilaian Piagam Baharu Guru kepada 410,000 orang guru di seluruh negara, dan sejumlah 16,102 prasekolah awam di Malaysia telah melengkapkan penilaian kendiri Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan (SKPK) menjelang Disember 2013.

* Kes-kes jenayah kekerasan menurun sebanyak 30 peratus dalam 52 hari pertama pelaksanan Operasi Cantas Khas, dan Unit Perhubungan Antarabangsa (ILU) ditubuhkan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur bagi menangani kebimbangan ekspatriat dan komuniti perniagaan antarabangsa.

* Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PoCA) 1959 bagi memberikan kuasa lebih luas kepada polis dalam menangani jenayah terancang, penjenayah tegar dan ganas; dan 813 tangkapan pada tahun pertama (Jan-Nov 2013) pelaksanaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) PDRM.

* Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International telah menokok satu anak tangga kepada ke-53 (2013) daripada ke-54 (2012), latihan integriti bagi Anggota-anggota Parlimen, dan Pembentukan 27 sekretariat pencegahan rasuah di Maktab Perguruan.

* 50 kontrak rundingan terus kerajaan dipaparkan secara online dalam portal MyProcurement, dan akses yang lebih cepat kepada Laporan Prestasi Ketua Audit Negara untuk meningkatkan pengawasan dalam perbelanjaan kerajaan.


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment