Hudud: Ibarat kita baru nak beli kereta - Nik Amar

MUHAMMAD FAIZAL
 
KUALA LUMPUR: Hasrat Kelantan untuk membawa usul berkaitan undang-undang Syariah ke Parlimen adalah usaha untuk meletakkan undang-undang Islam itu ke tempat yang betul.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ini kerana undang-undang syariah masih belum diterima di dalam negara ini.

"Cara mudah faham (ibaratnya) kita baru nak beli kereta bukan nak bawa kereta."

"Seperti hudud, kita baru nak cadang. Yang penting kita kena tengok meletakkan hudud pada tempat yang betul," katanya dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-27 yang bertajuk "Hudud: Bersediakah Kita?"

Menurut beliau lagi, Kelantan mengakui terdapat syarat ketat dan memerlukan penelitian sebelum perlaksanaan hudud.

Namun katanya, sebagai orang Islam meletakkan hudud ditempatnya adalah satu kewajipan.

"Sekarang kita usaha untuk melepasi halangan hudud, soal kita bersedia atau tidak itu kemudian," katanya lagi.

Ditanya moderator Dr Maszlee Malik, adakah Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 bukan 'sebuah kereta', Mohd Amar berkata ia sebuah kereta namun 'tiada lesen'.

Beliau turut membawa kata-kata Imam Ghazali dalam kitabnya yang menyuruh seorang ayah memberi rotan dan gantung di belakang pintu bagi menakutkan seorang anak dari melakukan kesilapan.

"Soal nak pukul ke tidak itu perkara kedua," katanya.

Turut serta sebagai panel dalam wacana itu bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dr Mushaddad Hasbullah dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment