Fobia Melayu: Isma takut dengan bayang-bayang

  Iskandar Fareez
Orang tua-tua dahulu sering berpesan supaya berhati-hati apabila keluar rumah. Kalau di kampung, mereka berpesan supaya kita berwaspada apabila berjalan dalam hutan, ada penunggu katanya.
Takut nanti kena sorok pula dengan orang bunian.
Semasa kecil, saya juga ada teringat beberapa ketika di mana orang tua saya mengingatkan perkara yang sama.
Mereka selalu mengingatkan saya supaya balik sebelum waktu Maghrib, takut hantu dan jin ikut sama masuk rumah.
Kalau kami adik-beradik nakal, mereka memberi amaran supaya berkelakuan baik kerana kalau tidak, malam nanti hantu datang kacau.
Apabila saya beransur dewasa, saya mula sedar bahawa amaran mereka hanyalah salah satu bentuk pengajaran bagi kami.

Ia merupakan acah-acah untuk menakutkan kami supaya berkelakuan baik. Bukan keluarga kami sahaja, bahkan rata-rata masyarakat Melayu Muslim di Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih kurang sama.
Akibatnya, ketakutan itu menjadi faktor pendorong bagi segala tindakan kita.
Satu perkara yang jelas, ketakutan atau fobia juga merupakan satu elemen yang mendorong tindakan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman untuk mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman tempoh hari.
Minggu lepas sahaja, Isma mengeluarkan beberapa kenyataan yang menghentam saudara bukan Muslim kita.
Abdullah Zaik berkata kaum Cina adalah “pendatang dan penceroboh” yang dibawa oleh penjajah British untuk menindas dan membuli orang Melayu.
Bukan itu sahaja, beliau juga menyifatkan sebarang tindakan menghalang cita-cita Melayu dan menafikan hak Melayu dalam menentukan masa depan negara adalah satu tindakan mencabar dan melampau oleh bangsa asing.
Kenyataan Abdullah Zaik mencerminkan 'inferiority complex' yang dialami Isma dan ia menjurus kepada xenofobia, ‘ketakutan atau kebencian tidak munasabah kepada perkara asing’.
Malangnya, bukan sahaja Isma, malah fobia ini dialami oleh rata-rata masyarakat Melayu.
Kita berasa syak waspada dan sangsi kepada perkara yang asing bagi kita. Seolah-olah apa yang berlainan itu berbahaya.
Sebarang pendapat yang bercanggah dengan pendapat kita dilabel sebagai niat jahat musuh untuk menjatuhkan masyarakat Melayu Muslim.
Kita melihat musuh berada dimana-mana.
Kemungkinan besar sesetengah daripada anggapan kita adalah bayangan kita sahaja.
Paranoia yang keterlaluan membawa kita itu percaya bahawa segala di dunia ini menentang kita. Semua benda dianggap sebagai suatu konspirasi sama ada agenda Illuminati, Freemason, Yahudi, Syiah, Wahhabi, Komunis, Sosialis, Kapitalis dan Red Bean Army.
Lebih teruk apabila dikaitkan pendapat yang berbeza itu sebagai agenda musuh Islam.
Sesungguhnya, inilah bahayanya apabila kita mencampur adukkan agama dengan sentimen perkauman.
Di Malaysia, Melayu itu beragama Islam, tetapi tidak semestinya yang Islam itu Melayu. Dalam perjuangan Isma untuk pertahankan ketuanan melayu, realiti ini dilepas pandang.
Isma menunjukkan satu persepsi yang buruk kepada saudara bukan Muslim. Islam yang ditonjolkan oleh mereka bersifat rasis dan zalim.
Mengambil pandangan yang ekstremis ini mungkin akan memencilkan mereka yang ingin tahu dengan lebih lanjut tentang Islam. Bagaimana mungkin Islam itu berkembang jika kita berterusan mengambil pendekatan melampau sebegini?
Berbanding dengan sekarang, masyarakat Muslim dahulu lebih dihormati kerana mereka menghargai keterbukaan pendapat dan kemuliaan ilmu.
Sungguhpun impian Isma itu murni, sentimen yang mereka mainkan membawa bahaya dan akan menyebabkan umat Islam terus mundur.
Malang sekali golongan yang berpelajaran tinggi seperti Isma yang rata-ratanya melanjutkan pelajaran ke luar negara, menggunakan duit cukai rakyat yang disumbangkan oleh majoriti bukan Islam atau bukan Melayu, bersikap tertutup akan perbezaan pendapat dan memusuhi idea-idea yang baru.
Pendidikan itu kunci kemajuan. Dalam pendidikan kita perlu terbuka dengan pendapat yang berbeza dan bukannya menyekat ruang perdebatan dengan melabel golongan yang tidak bersependapat sebagai penceroboh, pendatang, pengkhianat, sesat dan bermacam-macam lagi.
Fobia seperti ini mendorong kita untuk bertindak reaktif terhadap isu yang timbul tanpa melihat perkara pokok isu-isu tersebut.
Pendekatan sebegini menyebabkan kita mengambil tindakan yang melampau seperti pengharaman novel Faisal Tehrani dan pengharaman terjemahan Darwin hanya kerana takut bahan-bahan ini akan merosakkan pemikiran masyarakat.
Melalui tindakan yang mengongkong ini, masyarakat tidak dapat belajar dan minda tidak dapat berkembang.
Kita menjadi satu masyarakat yang begitu dangkal, hanya mementingkan aspek ritual (upacara) dalam agama tanpa menghayati mesej utama untuk menyebarkan kesejahteraan dan keamanan.
Kita menyebarkan kebencian atas nama agama. Kembali ke ajaran yang suci untuk berpegang kepada prinsip moderat yang dianjurkan dalam Islam.
Walaupun saya tidak bersetuju dengan tidakan Dr Zaik, tidaklah pula saya mahu beliau dikenakan tindakan bawah undang-undang.
Saya hanya menyeru saudara-saudara, sama ada muslim atau bukan Muslim, supaya bersuara untuk menentang kezaliman.
Dalam demokrasi, hak untuk seseorang itu menyampaikan pendapat walau yang paling rasis dan melampau sekalipun mesti dijamin.
Cuma, sebagai seorang yang waras dan moderat, kita mesti bersuara untuk mematahkan hujah-hujah golongan ekstremis ini.
Mereka boleh memainkan sentimen sambil berselindung di belakang andaian dan ‘fakta-fakta’ yang tidak lengkap tetapi kita mesti menangkis hujah-hujah ini dengan fakta yang sepenuhnya.
Fobia akan terus merantai masyarakat menyekat kita daripada terus maju. Jika Isma benar-benar mahu memajukan masyarakat dan tidak mahu melihat masyarakat mundur, perangilah fobia ini bukan saudara bukan Muslim kita.
Jika sekarang kita tidak maju, bukanlah salah British atau faktor luar. Maju atau mundur sesuatu masyarakat bergantung pada diri kita sendiri.
Kalau kita mudur, salah kitalah kerana asyik mencari jalan senang untuk mencapai kejayaan tanpa mahu meredah onak duri yang datang sekali bersamanya. Dengan mengubah diri sendiri barulah kita dapat mengubah masyarakat.
Negara barat maju kerana mereka menghargai ilmu. Ilmu itu seumpama pelita yang membawa tamadun barat keluar daripada kancah zaman kegelapan.
Ilmu itu juga yang akan menyuluh jalan ke hadapan dan menghilangkan bayang-bayang ketakutan dan sangsi.
Sebagai masyarakat yang mahu terus maju dari segi aspek fizikal dan mental, marilah kita membebaskan diri daripada fobia-fobia yang menghantui masyarakat kita dan menerima perubahan.
“Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa Muslim; aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim, tetapi tidak melihat Islam”, Muhammad Abduh.

Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment