KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang dipersoal ekoran kekayaan luar biasa yang dimilikinya turut didakwa pernah memiliki sebuah bank di Bangladesh.

Maklumat tersebut didedahkan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dalam satu temubual bersama Harakahdaily semalam.

Menurut Razman, beliau mempunyai maklumat bahawa Daim pernah mengambil alih ICB Islamic Bank Limited berdaftar di Karwan Bazar, Dhaka sekitar antara tahun 2006 dan 2007.

"Bagaimanapun maklumat yang kami perolehi, beliau telah menjual bank itu pada Oktober 2010 dengan harga USD55,000 juta," kata Razman kepada Harakahdaily.

Razman juga mendakwa, Daim mempunyai beberapa lagi milikan di luar negara melalui syarikat induk ICB Financial Group Holding AG atau juga dikenali sebagai ICB Banking Group yang berpengkalan di Switzerland.

Syarikat induk itu katanya, disenarai di Bursa Saham London pada Mei 2007.

"Pemegang saham terbesar ICB Financial Group Holding ini adalah Che Abdul Daim bin Haji Zainuddin iaitu sebanyak 61.3 peratus," jelas beliau sambil merujuk satu data bulan Oktober 2010.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sebelum ini turut mendakwa Daim mempunyai wang jutaan ringgit di dalam bank di Afrika dan Eropah Timur.

Terbaru dalam satu ceramahnya di ibu negara Ahad lalu, Anwar turut mendedahkan maklumat bahawa Daim juga menyimpan wang di sebuah bank di Tanzania.

Sementara itu, dalam beberapa maklumat carian di internet mendapati, ICB Financial Group Holding AG juga mempunyai rangkaian di beberapa lagi negara lain.

Ia termasuk Albania di Eropah serta Djibouti, Malawi, Senegal, Ghana dan Guinea di Afrika.

Selain itu bagi negara Asia, syarikat itu juga mempunyai rangkaian di Indonesia, Laos, Malaysia dan Bangladesh.

Sehubungan itu Razman mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat kekayaan luar biasa yang dimiliki Daim seperti yang telah didedahkan bebeberapa pihak ini.

"Kita juga desak Bank Negara untuk menyiasat bagaimana Daim bawa wang yang banyak ini keluar dari negara. Adakah ia dibuat secara sah atau tidak, kerana ia melibatkan Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953."

"Bank Negara juga perlu siasat perkara ini di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram," kata Razman sambil menegaskan hasil siasatan perlu didedah kepada rakyat kerana ianya melibatkan kepentingan awam.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment