KUALA LUMPUR: Ahmad Marzuk Shaary menyangkal penjelasan Pegawai Pelajaran Bachok, Amran Mustapha yang menegaskan tiada pertukaran guru dibuat seperti didedahkan Ahli Parlimen Bachok itu sebelum ini.

Beliau berkata, hakikat pertukaran guru yang ditukar atas sebab 'dendam politik' sememangnya berlaku dan beliau mempunyai bukti.

Bukti itu termasuk juga rakaman yang jelas tentang tekanan dan ugutan yang dibuat oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok terhadap guru-guru.

"Untuk pengetahuan, kami mempunyai bukti, bahawa sehingga hari ini sudah ada 10 orang guru yang telah ditukarkan daripada senarai berkenaan," kata beliau pada sidang media di Parlimen hari ini.

Marzuk sebelum ini mendedahkan PPD Bachok di bawah Kementerian Pelajaran telah menukar 10 guru di kawasan berkenaan atas sebab dendam politik.

Jumlah itu termasuk dalam senarai lebih 80 lagi guru yang didakwa akan ditukar pada 16 April ini.

Antara yang tersenarai adalah isteri kepada Naib Presiden PAS, Pusat Datuk Husam Musa iaitu Datin Rohana Abd Rahman.

Menurut Marzuk, antara 40 alasan politik pertukaran yang diberikan adalah kerana suami calon PAS, keluarga PAS tegar dan membekal makanan ke pos PAS.

Amran dalam jawapannya kepada Malaysiakini semalam turut mengesahkan memang terdapat senarai guru-guru yang hendak dipindahkan dari daerah Bachok tetapi “ia tidak rasmi”.

Katanya, ia senarai lama yang dikumpulkan oleh pegawai pelajaran daerah lama yang tidak lagi bertugas di Bachok.

"Saya ingin ucapkan terima kasih di atas jasanya dalam membenarkan kesahihan senarai pertukaran guru itu. Ianya sahih dan benar."

"Saya juga bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa tiada pertukaran yang akan berlaku lagi berkaitan senarai tersebut."

"Ini bermakna pertukaran berasaskan politik tidak lagi relevan terhadap guru-guru lain di Bachok," kata Marzuk lagi.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment