Tuduhan ‘PKR parti keluarga Anwar’ bukan perkara baru, kata Saifuddin

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Tuduhan PKR parti keluarga isu lapuk yang tidak beri kesan terhadap sokongan masyarakat terhadap parti itu, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 18 April, 2014.Tuduhan PKR parti keluarga isu lapuk yang tidak beri kesan terhadap sokongan masyarakat terhadap parti itu, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 18 April, 2014.
Tuduhan dan serangan mengatakan PKR sebagai "parti keluarga" Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah perkara baru, sebaliknya isu itu diulang sejak pertama kali penubuhan parti  ketika Anwar dipenjarakan pada 1999, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin bagaimanapun berkata, propaganda itu gagal meyakinkan rakyat untuk menolak PKR, sebaliknya parti itu kini terus berkembang sehingga mampu mentadbir Selangor serta menambah kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum.

"Itu bukan perkara baru.... sejak penubuhan parti itulah serangannya," kata Saifuddin ketika temubual eksklusif bersama The Malaysian Insider di pejabatnya di Petaling Jaya, awal minggu ini.

Beliau yang mencalonkan dirinya untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR akan datang, berkata istilah parti keluarga itu bukan perkara asing di negara ini, memandangkan Umno turut mengamalkan pendekatan sama apabila pemimpin sekarang merupakan legasi daripada pemimpin terdahulu.

Beliau mengambil contoh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, dua bersaudara yang merupakan anak kepada bekas perdana menteri terdahulu - Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

"Serangan seperti itu tidak berbekas lagi," katanya, dan menambah, amalan menyediakan pelapis daripada kalangan keluarga dalam parti politik adalah budaya politik di rantau ini.

Anwar yang dilantik sebagai ketua umum PKR akan bertanding menentang isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam pemilihan parti, manakala anak sulung mereka, Nurul Izzah Anwar akan bertanding bagi mengekalkan jawatan naib presiden PKR.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini turut berkata, isu PKR dikuasai keluarga Anwar juga bukan pelik memandangkan pemimpin datang dan pergi, tetapi parti akan berkekalan.

"Sudah tentu kita mahu ada pewaris untuk parti," katanya.

Mengakui perkara itu, Saifuddin berkata, beliau kini sedang mempersiapkan anak lelakinya untuk menjadi pewaris dalam arena politik dengan memberikan latihan dan persediaan awal untuk menjadi ahli politik.

"Saya ada lima anak, anak perempuan saya tidak minat politik, tetapi ada seorang anak lelaki saya ini saya sedang mempersiapkan dia. Saya hantar dia belajar di luar negara khusus dalam bidang politik."

"Saya pun hendak diwarisi, itu sudah tentu rancangan saya," katanya, dan menambah, selain berbakat sebagai pemidato, anaknya pernah dihantar menuntut ke Mesir dan Jakarta, Indonesia.

"Ini diterima sebagai amalan politik negara," katanya.

Beliau turut menasihati pengkritik, terutamanya parti lawan daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) agar tidak lagi menggunakan isu lapuk itu memandangkan rakyat kini menilai kepimpinan melalui idea  mereka.

"Umno kalau kamu sudah guna modal sama sejak 15 tahun lalu, sudah pasti tiada lagi orang hendak sokong kami. Nasihat saya kepada Najib, jangan pakai lagu lama, sekarang pertarungan idea," katanya.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment