Tuduhan lawatan kerja ke Dubai tidak berasas, dokumen tidak disahkan, kata pejabat TPM

Dokumen yang didedahkan dua ahli Parlimen berhubung lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) ke Dubai bukan jadual sebenar sebaliknya draf awal program yang masih dalam perbincangan, demikian menurut Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada wakil media yang membuat liputan sempena lawatan kerja itu, Pejabat Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tuduhan dua ahli Parlimen DAP berkaitan lawatan kerja itu seperti yang dilaporkan portal dan blog adalah melulu, tidak berasas dan berniat jahat.

"Tindakan mereka membuat tuduhan tanpa usul periksa dengan hanya berasaskan satu dokumen yang tidak disahkan adalah satu perbuatan yang tidak profesional," menurut kenyataan itu.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan itu kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong yang seolah-olah menggambarkan lawatan kerja Muhyiddin untuk memperkukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan menarik pelaburan asing ke Malaysia itu sebagai satu percutian yang membazir wang rakyat.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa dalam jadual akhir yang dimuktamadkan, Muhyiddin mempunyai aktiviti rasmi yang ketat sepanjang berada di Dubai dari 7 hingga 12 April untuk lawatan kerjanya.

"Adalah menjadi kelaziman dalam mana-mana program lawatan Timbalan Perdana Menteri ke luar negara akan terdapat beberapa perubahan pada draf jadual lawatan sebelum ia dimuktamadkan."

"Ini kerana jadual yang diatur tertakluk kepada pengesahan pihak yang terlibat di negara yang hendak dilawati," menurut kenyataan itu.

Kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu memberikan contoh di mana draf jadual lawatan yang didedahkan dua ahli Parlimen itu tidak mengandungi acara rasmi Muhyiddin di Dubai pada 8 April.

Selasa lalu, Muhyiddin diberi penghormatan oleh kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk menyampaikan ucaptama di Mesyuarat Pelaburan Tahunan (AIM).

Dalam pertemuannya dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum berserta beberapa ketua kerajaan yang menghadiri AIM, Muhyiddin berkongsi pengalaman Malaysia dalam persekitaran perniagaan antarabangsa dan menarik pelaburan asing.

Dalam pertemuan yang sama, Muhyiddin turut menyampaikan ucapan terima kasih kerajaan Malaysia kepada Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum atas bantuan kerajaan UAE dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370.

Muhyiddin juga menghadiri Pameran Pendidikan dan Latihan Teluk dan melancarkan pavilion Malaysia di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai selain menerima kunjungan Menteri Pelajaran UAE Humaid Mohammed Al Qatami dan Menteri Kebudayaan, Pembangunan Belia dan Masyarakat Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan di venue itu.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GEM Education yang berpangkalan di Dubai, Sunny Varkey.

GEMS Education mempunyai rangkaian sekolah swasta di 151 buah negara termasuk UAE, Amerika Syarikat dan Singapura, sedang dalam proses untuk membuka sebuah sekolah swasta dengan kadar berpatutan di Malaysia.

Muhyiddin juga dijadual menyertai dua majlis makan malam rangkaian perniagaan bersama ahli perniagaan ternama dari Malaysia dan UAE.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu, perbelanjaan bagi kedua-dua majlis makan malam itu tidak ditanggung kerajaan Malaysia.

Majlis makan malam itu dibiayai Ahmad Zaki Resources Bhd, syarikat yang mempunyai operasi di Dubai dan satu lagi majlis dibiayai Essa Al-Ghurair, anggota Dewan Perniagaan Dubai dan Penasihat Panel Antarabangsa Forum Ekonomi Islam Dunia.

Semasa lawatan itu juga, Muhyiddin mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat Malaysia yang mempunyai kepentingan di UAE dan Timur Tengah antaranya Petronas dan Eversendai Corporation Bhd.

Muhyiddin juga akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan EMKE Lulu Group of Companies atas undangan Yusof Ali MA, pemilik rangkaian pasar raya hiper di negara-negara teluk.

Dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan perniagaan dan perdagangan antara Malaysia dan UAE, kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri menyebut Muhyiddin dijemput untuk menyertai acara golf bersama ahli-ahli perniagaan dari kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, segala perbelanjaan untuk acara golf rangkaian perniagaan itu dibiayai sepenuhnya syarikat persendirian dan bukan peruntukan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri juga akan menyertai satu acara golf rasmi anjuran Tourism Malaysia pada 14 April bagi tujuan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Makan tengah hari bagi acara golf itu ditaja Pengerusi ASCORP Holdings dan Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Abu Dhabi, Khalfan Saeed Al Kaabi.

Sempena lawatan itu, Muhyiddin juga akan menghadiri majlis makan bersama diaspora Malaysia di UAE anjuran Talent Corporation.

Kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu menyebut lawatan kerja ke Dubai itu merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi pemimpin kerajaan ke luar negara seperti lawatan lain bertujuan memperkukuhkan kedudukan Malaysia di persekitaran ekonomi dan politik antarabangsa yang semakin dinamik.

"Keseluruhan aktiviti Timbalan Perdana Menteri sepanjang lawatan beliau ke Dubai menjurus ke arah meningkatkan hubungan perdagangan dan perniagaan antara Malaysia dan UAE serta menarik pelaburan asing ke Malaysia demi kepentingan negara," menurut kenyataan itu.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment