Stadium hoki: Khairy dapat maklumat ‘tidak cukup masak’

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi menyelar kenyataan liar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin yang menegur Selangor tidak prihatin terhadap masalah pembaikan stadium hoki di negeri itu semasa sidang akhbar beliau baru-baru ini.

“Saya ingin mengingatkan kepada Khairy supaya tidak mengambil maklumat daripada ‘sembang gebang kedai kopi’ ataupun daripada ‘hiruk pikuk pasar borong’ dan kemudian terus menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor kerana tidak melakukan usaha untuk memulihkan keadaan stadium hoki yang ada di negeri Selangor terutamanya Stadium Hoki Pandamaran, Klang dan Stadium Hoki MBPJ, Petaling Jaya,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Saya selaku Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor dengan ini menyelar kenyataan liar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin yang menegur Kerajaan Negeri Selangor tidak prihatin terhadap masalah pembaikan stadium hoki di dalam negeri Selangor semasa sidang akhbar beliau baru-baru ini.

Saya ingin mengingatkan kepada Khairy supaya tidak mengambil maklumat daripada ‘sembang gebang kedai kopi’ ataupun daripada ‘hiruk pikuk pasar borong’ dan kemudian terus menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor kerana tidak melakukan usaha untuk memulihkan keadaan stadium hoki yang ada di negeri Selangor terutamanya Stadium Hoki Pandamaran, Klang dan Stadium Hoki MBPJ, Petaling Jaya.

Saya ingin mempertegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat mengambil serius terhadap pembaikan kedua-dua buah stadium hoki yang dinyatakan. Dan kini ianya berada di peringkat akhir semakan kertas kerja yang akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Selepas mendapat kelulusan tersebut barulah proses untuk membaiki kedua-dua buah stadium tersebut akan dilakukan mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Saya juga ingin menyatakan bahawa pihak Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi terhadap perkara yang membabitkan aspek keselamatan terhadap pengunjung stadium terutamanya apabila ianya membabitkan salah sebuah mercu tanda Negeri Selangor iaitu Stadium Shah Alam yang mempunyai memori tersendiri kepada Negeri Selangor.

Stadium Shah Alam sendiri telah berusia 20 tahun dan sewajarnya dilakukan sedikit pembaikpulihan sejajar dengan taraf stadium tersebut yang kerap digunakan untuk pertandingan bolasepak peringkat antarabangsa. Tetapi itu tidak bermakna stadium-stadium untuk acara sukan yang lain dianaktirikan dari sudut pembaikpulihan tempat latihan mereka.  Ada pusat latihan dan stadium yang perlu kepada proses yang disegerakan dan ada yang dilewatkan.

Begitupun Khairy sepatutnya berbangga terhadap komitmen pengurusan Persatuan Hoki Negeri Selangor dan pasukan Hoki Selangor yang masih boleh menjuarai Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun walaupun mempunyai masalah tempat untuk menjalani latihan.

Saya juga turut meminta supaya pihak menteri tidak terlalu prejudis disebabkan masalah perbezaan ideologi politik dan cuba untuk mengambil langkah murahan dengan mempolitikkan isu masalah stadium hoki ini sedangkan ianya telah berlaku semenjak dari zaman Barisan Nasional memerintah negeri Selangor.

Oleh itu janganlah hanya pandai menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang terpaksa mewarisi kelemahan dan kecuaian pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

“Saya ingin memaklumkan kepada Khairy bahawa saya telah mengutus surat untuk bertemu dan berbincang dengan beliau berkenaan pelbagai isu dan program yang berkaitan dengan pembangunan Belia dan Sukan samada peringkat negeri Selangor ataupun negara seusai beliau dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru, tetapi malangnya sehingga ke hari ini saya masih lagi belum mendapat sebarang jawaban balas daripada pihak beliau”.

Maka saya dengan ini mengharapkan semoga Khairy mempunyai keterbukaan untuk bertemu dengan saya ataupun boleh menghubungi saya secara terus selaku Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor sekiranya memerlukan maklumat yang sahih terhadap perkembangan sukan dan prasarana sukan di dalam negeri Selangor.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment