Selangor bayar lebih RM2 bilion bagi perjanjian air, selamatkan Puncak Niaga, dedah dokumen

Perjanjian air yang ditandatangani pada Februari oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Putrajaya. Satu dokumen PKR mendedahkan perjanjian tersebut seperti menyelamatkan Puncak Niaga daripada muflis. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 April, 2014.
Perjanjian air yang ditandatangani pada Februari oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Putrajaya. Satu dokumen PKR mendedahkan perjanjian tersebut seperti menyelamatkan Puncak Niaga daripada muflis. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 April, 2014.

Selangor tidak seharusnya menggunakan tambahan RM2 bilion untuk mendana pengambilalihan empat syarikat konsesi bernilai RM9.65 bilion, kerana perjanjian tersebut seperti menyelamatkan Puncak Niaga yang juga memiliki syarikat Syabas, dedah dokumen dalaman PKR.

Dokumen dilihat The Malaysian Insider itu merupakan nota taklimat kepada pemimpin PKR yang sedang membincangkan tindakan tergopoh-gopoh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menandatangani perjanjian air dengan Putrajaya pada Februari.

Ia menunjukkan dalam perjanjian tersebut, Selangor bersetuju untuk meningkatkan pembayaran ekuiti atau keuntungan kepada Puncak Niaga Bhd daripada RM1.07 bilion pada Februari 2013 kepada RM1.638 bilion pada Mac 2014.

“Dalam tempoh beberapa bulan, kerajaan Selangor menaikkan pampasan keuntungan kepada Puncak Niaga (yang dikawal oleh tokoh yang rapat dengan Umno) sebanyak RM568 juta,” dedah dokumen tersebut, merujuk kepada pengasas syarikat Tan Sri Rozali Ismail yang pernah menjadi bendahari Umno Selangor.

Dokumen tersebut turut mendedahkan rekod kewangan terbaru Puncak Niaga pada tahun berakhir Disember 2012 yang menunjukkan syarikat tersebut sedang dalam kerugian sebanyak RM75 juta selepas ditolak aset RM13.4 bilion dan untung bersih RM232.7 juta daripada jumlah liabiliti RM13.5 bilion.

“Maknanya, jika kumpulan Puncak Niaga ini dijual pada pasaran terbuka tanpa rundingan, nilaian berdasarkan rekod keuntungan, aset dan liabiliti adalah syarikat tidak ada nilai."

“Tawaran di dalam MoU sebaliknya memberikan pampasan keuntungan sehingga RM1,638 juta kepada kumpulan Puncak Niaga iaitu RM1,700 juta lebih tinggi daripada nilai pasarannya mengikut rekod keuntungan, aset dan liabiliti,” dedah dokumen tersebut.

Dokumen tersebut turut menyatakan kerajaan Selangor memotong pampasan ditawarkan kepada pemegang konsesi yang lain, SPLASH sebanyak RM2.1 bilion dengan tawaran hanya RM251 juta.

“SPLASH besar kemungkinan akan menolak tawaran kerana merasakan penurunan daripada tawaran awal terlalu besar,” kata dokumen tersebut, dan menambah Selangor hanya boleh berharap agar Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air Selangor (Wasia) untuk merampas aset air SPLASH dan menentukan pampasan.

Ia mengatakan Khalid tergopoh-gapah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Putrajaya pada 26 Februari kerana dua sebab, walaupun ianya tidak diluluskan oleh ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Sebab pertama adalah Putrajaya tidak lagi mahu menangguhkan pembayaran hutang (bon) syarikat-syarikat konsesi seperti yang selama ini ditanggung kerajaan persekutuan melalui pinjaman mudah alih.

“Ini akan menjadikan kumpulan Puncak Niaga muflis,” kata dokumen tersebut.

Sebab kedua adalah Putrajaya benar-benar mahu mempercepatkan Projek Langat 2 kerana pembiaya Jepun mengugut untuk menarik balik pinjaman, kata dokumen tersebut, merujuk kepada projek rawatan air multi-billion untuk merawat air dari Pahang untuk dibekalkan kepada Selangor jika mengalami kekurangan air.

“Jika ini asas utama, sudah tentu kerajaan Selangor berada dalam keadaan yang kukuh dalam rundingan. Jika kerajaan persekutuan dan Puncak Niaga berkeras, ia akan muflis dan ada kesan besar kepada rekod ekonomi kerajaan persekutuan."

“Apatah lagi keterdesakan kerajaan persekutuan dalam pembiayaan Projek Langat 2 sepatutnya menjadikan kuasa rundingan kita kukuh,” kata dokumen tersebut, dan menambah senario rundingan lebih baik kepada rakyat Selangor, kerana boleh mengurangkan pampasan kepada syarikat konsesi dan memaksa Putrajaya dan syarikat konsesi bersetuju dengannya.

Dokumen tersebut juga mengatakan Khalid mengakui tidak ada kertas exco yang membincangkan kandungan akhir MoU yang ditandatangani dengan Putrajaya.

“Maka, tidak ada satu kelulusan yang direkodkan oleh exco yang memberi kuasa kepada menteri besar untuk menandatangani MoU ini bagi pihak kerajaan dan rakyat Selangor,” katanya.

Selangor semalam mengatakan mereka bersedia mengkaji rayuan Puncak Niaga dan Syabas untuk melihat semula terma perjanjian penstrukturan air.

Bagaimanapun, Khalid mengatakan kerajaan negeri tidak akan meningkatkan tawaran RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi.

Kedua-dua Puncak Niaga dan Syabas merayu kepada Selangor supaya melihat semula tawaran pengambil alihan sebelum Putrajaya menggunakan Seksyen 114, Wasia 2006.

"Bagaimanapun, kos pengambilalihan yang dicadangkan kedua-dua syarikat itu tidak boleh melebihi tawaran asal keseluruhan yang berjumlah RM9.65 billion," kata Khalid.

Katanya, perkara ini penting kerana kenaikan kos pengambilalihan akan mempunyai kesan negatif kepada tarif air dan akhirnya membebankan rakyat terutama lebih lima juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment