Sampel air kencing pemandu lori terlibat kemalangan Karpal, positif ganja

OLEH LEE SHI-IAN

Kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih milik mendiang Karpal Singh remuk dalam kemalangan membabitkan sebuah lori seberat 5 tan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, awal pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 17 April, 2014.Kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih milik mendiang Karpal Singh remuk dalam kemalangan membabitkan sebuah lori seberat 5 tan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, awal pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 17 April, 2014.
Kesan ganja ditemui dalam sampel air kencing pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan Toyota Alphard milik mendiang Karpal Singh.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kepada The Malaysian Insider keputusan saringan awal ujian air kencing pemandu berusia 45 tahun itu mendapati air kencingnya positif ganja.

"Kami menghantar sampel urin ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk pengesahan," katanya.

The Malaysian Insider turut difahamkan semakan mendapati pemandu Karpal mempunyai 15 saman trafik memandu melebihi had laju.

Semakan terhadap kenderaan Toyota Alphard juga mendedahkan kereta itu mempunyai 29 saman trafik dengan 15 daripadanya belum dibayar.

Acryl berkata, ia merupakan semakan awal mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.10 pagi itu dikatakan berpunca apabila kenderaan pelbaga guna yang dinaiki Karpal berlanggar dengan lori Mitsubishi Canter seberat lima tan.

Kemalangan itu berlaku di KM306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan. Lima penumpang berada di dalam MPV itu termasuk pemandu dan ada tiga individu di dalam lori.

Mereka yang berada di dalam MPV termasuk anak lelaki Karpal, Ramkarpal; pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius; pembantu rumah warga Indonesia dan pemandu, C Selvam.

Selain pemandu lori, penumpang di dalam lori termasuk Nur Azlina Ahmad, 23, dan seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah.

Karpal dan Michael dipercayai meninggal dunia ditempat kejadian, dan pembantu rumah itu mengalami beberapa kecederaan.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment