KOTA BHARU: Balai Kartun milik persendirian yang diurus kartunis terkenal, Rossem merupakan yang pertama seumpama itu di Malaysia.

Kartunis popular, Datuk Mohd Noor Khalid (Lat) berkata, Balai Kartun seperti diurus Rossem belum ada lagi di tempat-tempat lain di negara kita.

“Rossem berjaya mengadakan balai kartun sendiri yang dianggap sebagai pertama di negara ini,” katanya pada perasmian Balai Kartun Rossem, di Peringat dekat sini hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah. (Gambar)

Hadir sama anggota-anggota Exco, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman, Dr Ramli Mamat, karyawan, pelakon teater, penyair, pelukis dan pelajar-pelajar Universiti Malaysia Kelantan.

Balai Kartun yang terletak di hadapan kilang padi Bernas di Peringat dimiliki Rosidi Semail yang lebih dikenali sebagai Rossem.

Sebelum ini beliau berkhidmat di Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri sebagai Penolong Pengarah Penerbitan.

Malah beliau juga pernah berkhidmat sebagai kartunis di akhbar The Sun selepas menamatkan perkhidmatan sebagai anggota polis.

Lat mengingatkan karyawan menjelmakan ilham berpandukan produk tempatan kerana masyarakat dari luar ingin melihat keunikan yang ada di Malaysia.

Mohd Amar pula berkata, bidang sastera begitu tinggi nilainya sehingga ia boleh digunakan sebagai medan dakwah bagi menyampaikan risalah Islam.

“Menyedari hakikat itu, kerajaan Kelantan tidak pernah meminggirkan bidang seni selagi ia tidak bercanggah dengan syariat,” ujarnya.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment