Putrajaya tidak beritahu semua tentang MH370, kata Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu media British kerajaan tidak memberitahu keseluruhan maklumat dalam operasi mencari MH370. Gambar fail The Malaysian Insider.Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu media British kerajaan tidak memberitahu keseluruhan maklumat dalam operasi mencari MH370. Gambar fail The Malaysian Insider.
 
Tidak mungkin radar canggih yang dimiliki Malaysia tidak boleh mengesan pesawat MH370 yang menukar arahnya kembali ke semenanjung Malaysia dalam kejadian pada 8 Mac itu, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam temubual dengan media British, The Telegraph, Anwar yang baru didapati bersalah atas dakwaan meliwat yang disifatkan sebagai usaha untuk membunuh karier politiknya berkata, dia tergamam mengapa radar canggih Marconi itu gagal mengesan dengan segera pesawat yang menukar arah itu.

Menerusi wawancara itu, Anwar berkata, radar itu disifatkan sebagai "salah satu daripada radar paling canggih" di dunia yang berpusat di Laut China Selatan untuk mengawasi seluruh daratan Malaysia dan pantai timur dan baratnya, malah, beliau sendiri memberikan kebenaran pemasangannya semasa menjadi menteri kewangan pada 1994.

Katanya, ia bukan sekadar "tidak boleh diterima tetapi tidak mungkin dan tidak wajar" pesawat itu tidak boleh dilihat oleh sistem radar itu sebaik sahaja ia bertukar arah.

Bercakap kepada The Telegraph, Anwar berkata, radar itu akan secepat kilat  mengesan Boeing 777 kerana ia terbang dari timur ke barat melalui sekurang-kurangnya empat negeri di Malaysia.

Anwar berkata, adalah 'mencurigakan' apabila tentera udara negara ini terus diam, kerana "ia hanya perlukan tiga minit di bawah prosedur standard operasi untuk pesawat tentera udara bertindak, tetapi tidak ada tindak balas."

Ketua umum PKR itu berkata:"Kami tidak ada yang secanggih Amerika Syarikat atau Britain, tetapi kami ada kemampuan untuk menjaga kepentingan sempadan."

Adalah sesuatu yang sangat "mengagumkan" untuk mengatakan operator radar itu tidak dapat mengawasi pergerakan pesawat itu.

"Bagaimanapun cara hal ini dikendalikan dalam beberapa hari pertama sangat mencurigakan. Jelas, maklumat kritikal yang kita perlu untuk memahami hal ini tiada."

"Saya yakin kerajaan lebih tahu daripada kita. Mereka ada kuasa untuk mengarahkan tentera udara atau Malaysia Airlines. Mereka yang berhak tahu kepada semua maklumat penting ini untuk kita memahami kehilangan MH370," kata Anwar dipetik daripada Telegraph.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar untuk 153 keluarga mangsa dari China menuntut penjelasan daripada kerajaan Malaysia, yang membenarkan operasi pelbagai negara menghabiskan masa seminggu untuk mencari di kawasan salah.

"Mengapa kita tidak memberitahu China dan Vietnam operasi mencari di Laut China Selatan perlu dihentikan dan kenapa membenarkan mereka menghabiskan wang jutaan untuk pencarian di kawasan yang diketahui bukan tempat pesawat itu akan berada," kata Anwar kepada The Telegraph.

Namun, Telegraph melaporkan, sumber yang rapat dengan kerajaan mendakwa Anwar cuba mengeksploitasi tragedi ini untuk mendapat manfaat politik.

"Reaksi media antarabangsa, yang secara jelas mengecam Malaysia adalah tidak adil. Ia sebahagiannya dirancang oleh pembangkang Malaysia," kata sumber kepada Telegraph.

"Menjadi tanggungjawab kerajaan kepada keluarga untuk tidak memberikan maklumat yang tidak sahih yang boleh memberi harapan palsu atau andaian tidak betul dan boleh mengganggu siasatan. Pada setiap langkah, semua protokol penyiasatan antarabangsa diikuti."

"Situasi ini belum pernah berlaku. Pencarian sebenarnya dikendalikan dengan baik. Kerajaan menguruskan operasi ini dan pengarahan dari daratan dan semua penyiasat antarabangsa yang terlibat memuji usaha Malaysia," kata sumber itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia tidak memberikan reaksi secara rasmi kepada Telegraph ketika diminta mengulas kenyataan Anwar tetapi sebelum ini ada mendakwa mempolitikkan krisis ini.

Pencarian pesawat MH370 itu kini difokuskan kepada selatan Lautan Hindi iaitu kira-kira 1,000 batu dari pantai Perth, Australia, di mana objek yang berkemungkinan serpihan dari pesawat itu dikesan oleh satelit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengesahkan, data satelit menunjukkan MH370 berakhir di Lautan Hindi.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment