Putrajaya perlu jelaskan manfaat lawatan Muhyiddin ke Dubai, kata DAP

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Putrajaya hari ini dipersoalkan apa keperluan menghantar timbalan perdana menteri bersama isterinya, termasuk 15 pegawai dari pejabatnya ke Dubai yang bermain golf di sana.

Putrajaya juga perlu menjelaskan kos sebenar lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rombongannya itu, kata pemimpin DAP.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim (gambar) dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata, kerajaan seharusnya menjelaskan kesemua kos termasuk "pesawat khas", hotel, dan perbelanjaan lain.

"Pada masa yang sama, rakyat perlu dimaklumkan bagaimana program seperti itu memanfaatkan rakyat Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan," kata kenyataan tersebut.

"Kenapa kerajaan perlu menghantar timbalan perdana menteri bersama isterinya, termasuk 15 pegawai? Apa keperluan bermain golf dengan tugas?" kata mereka.

"Adakah ini selari dengan pengurangan kos yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa?" soal mereka lagi.

Muhyiddin, yang juga menteri pendidikan sebelum ini diselar atas lawatan lima hari ke Dubai dengan lebih banyak urusan tidak rasmi berbanding perkara yang memberi manfaat kepada kerajaan.

Zairil dan Steve mendedahkan perkara itu selepas mendapat maklumat yang disebarkan melalui Internet.

"Rakyat berhak tahu daripada manakah sumber perbelanjaan yang menanggung perbelanjaan Muhyiddin selama berada lima hari di Dubai dengan mendiami hotel lima bintang yang dikatakan dibiayai Kementerian Pendidikan dan Talent Corp, Pejabat Perdana Menteri."

"Adakah dengan lawatan berkenaan dapat menaikkan kualiti pendidikan negara atau memberi manfaat kepada kerajaan?" kata Steven dalam satu sidang media di lobi Parlimen sebelum ini.

Melalui tentatif program yang diberikan, urusan rasmi Muhyiddin dalam lawatan lima hari ke Dubai itu hanyalah pada hari ini iaitu dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengahari.

Tentatif itu menyatakan, Muhyiddin bersama isterinya ke Dubai menaiki pesawat khas dan menginap di Hotel Shangri-La sepanjang berada ke sana.

Lawatan Muhyiddin adalah bersempena menghadiri majlis pembukaan Pertunjukan Pendidikan dan Latihan Teluk (Getex) 2014 selain menandatangani perjanjian persefahaman dalam bidang pendidikan tinggi bersama kementerian di sana.

Zairil berkata selepas acara rasmi berkenaan, Muhyiddin akan menuju ke Kelab Golf Montgomerie dan diikuti santapan makan malam.

“Hari yang berbaki di Dubai akan dihabiskan dengan program persendirian seperti makan malam dengan ahli perniagaan ternama selain pada hari terakhir satu lagi jadual bermain golf diaturkan,” katanya.

Sim berkata, Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM54 bilion namun standard pendidikan negara terus mencatatkan penurunan.

Beliau menggesa ketua audit negara menyiasat lawatan ini dan beberapa lawatan yang pernah dilakukan Muhyiddin.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment