KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Utusan Melayu (M) Bhd supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
  
Dalam penghakiman, Rosilah Yop berkata saman itu tidak mempunyai kaitan dengan kes saman Anwar terhadap penulis blog 'Papagomo' yang telah diputuskannya sebelum ini dan ia akan melibatkan saksi serta fakta berbeza.
  
Katanya isu berat sebelah juga tidak akan timbul dalam kes saman itu kerana keputusan yang dibuat adalah berdasarkan perbicaraan penuh dan hujah kedua-dua pihak.
  
Selain syarikat itu, turut membuat permohonan sama ialah Ketua Pengarang Kumpulan akhbar berkenaan, Datuk Abdul Aziz Ishak.
  
Rosilah menolak permohonan itu dengan kos RM5,000 dan membenarkan permohonan Utusan dan Abdul Aziz untuk menangguhkan kes tersebut sehingga Isnin ini untuk membolehkan peguam mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 April lalu, Utusan dan Abdul Aziz memfailkan permohonan itu kerana mendakwa akan timbul isu berat sebelah.
  
Menurut mereka, ini kerana dalam penghakiman Rosilah pada 19 Feb lalu, Rosilah berpendapat Anwar merupakan pemimpin dan ahli politik yang terkenal di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa, berperwatakan dan repu­tasi baik, namun telah difitnah oleh defendan, Wan Muhammad Azri Wan Deris.
  
Dalam kes saman Anwar, 67, terhadap Wan Muhamad Azri, 31, Rosilah memutuskan bahawa defendan adalah pemilik blog www.papagomo.com dan memerintahkannya membayar ganti rugi RM800,000 kepada penasihat PKR itu.
  
Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Utusan dan Abdul Aziz manakala Datuk S. Ambiga bertindak bagi pihak Anwar.
  
Anwar memfailkan saman itu pada 8 Mac tahun lalu dan turut dinamakan sebagai defendan ialah TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd Datuk Shaharudin Abd Latif; dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan ketiga hingga kelima.
  
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac 2013 menyiarkan artikel di muka hadapannya bertajuk 'Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?' dan di muka surat sembilan pula bertajuk 'Tiga kumpulan jadi dalang'.
  
Ketua Pembangkang itu menyatakan, defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh defendan pertama dan kedua.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment