KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin bersedia berdebat mengenai sistem kehakiman negara ini yang terlalu banyak menghadapi pelbagai kritikan.

"Kalau hendak kita boleh debat. Buat siaran langsung di TV," katanya ketika berucap membahaskan pindaan Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Dewan riuh apabila Ahli-Ahli Parlimen BN membantah kenyataan Hanipa mengenai "perbicaraan wayang".

"Dalam negara-negara yang ada mahkamah yang mengamalkan sistem diktator, memang orang-orang dibicarakan.

"Semua dipanggil show trial. Perbicaraan wayang. Bicarakan semata-mata hendak  tunjukkan, "Oh! Kita bicarakan  dia."

"Tetapi perbicaraan tidak ikut lunas undang-undang. Tidak ikut prinsip undang-undang. Melanggar semua," katanya.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menuduh kenyataan itu menghina mahkamah.

Ketika Hanipa membangkitkan bahawa rakyat tidak puas hati terhadap sistem kehakiman sehingga ada yang membaling kasut, Tajuddin membantah, "itu pembangkang, bukan rakyat".

Hanipa terus membidas sanggahan Tajuddin itu dengan membangkitkan pelbagai kes yang melibatkan badan kehakiman.

"Kalau dikatakan yang baling kasut itu pembangkang, tidak menghormati mahkamah, saya hendak tanya pula, bagaimana pula dengan Suruhanjaya Kehakiman yang mengatakan memang ada salah guna kuasa?"

"Bagaimana pula dengan bekas hakim mahkamah ketika memutuskan kes Likas? Datuk Muhammad Kamil Awang yang menyatakan bagaimana dia diarahkan untuk batalkan petisyen. Adakah dia orang PAS, adakah dia orang DAP?" kata Hanipa.

Ketika itu Tajuddin menuduh pembangkang hanya menyatakan mahkamah adil bila keputusan menyebelahi mereka.

Hanipa menolak tuduhan itu dengan menekankan bahawa pihaknya menerima keputusan mahkamah walaupun kalah dalam perbicaraan.

"Kita pernah kalah, petisyen pilihan raya kita tidak pernah menang. Sekali sahaja kita menang, tetapi kita terima."

"Yang kita tidak boleh terima bagaimana badan kehakiman, bukan saya kata, sampai ada laporan daripada peringkat antarabangsa, 'Justice  in Jeopardy'."

"Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Suffian pernah memberikan ucapan mengatakan, 'Saya merasa malu menjadi rakyat Malaysia apabila melihat sistem kehakiman dihancurkan oleh pemerintah'. Ini ucapan daripada Tun Suffian, bukan pembangkang," kata Hanipa.

Beliau juga membangkitkan bagaimana kerajaan mendiamkan sahaja 112 tuduhan seorang hakim yang menulis surat mengenai pelbagai perkara buruk dalam sistem kehakiman dan tuduhan demi tuduhan dalam kes video Datuk V K Lingam yang juga didiamkan begitu sahaja.

"Kenapa tidak ada pendakwaan ke atas Dato'  Syed Ahmad  Idid (yang mengemukakan 112 tuduhan itu)? Kenapa tidak ada pendakwaan kes Tun Dr Mahathir Mohamad dulu?"

"Kenapa tidak ada pendakwaan ke atas Ahli Parlimen Putrajaya? Kenapa tidak ada pendakwaan ke atas Vincent Tan? Kenapa tidak ada pendakwaan ke atas Tun Mohd Eusoff Chin? Kenapa tidak ada pendakwaan (ke atas) Tun Ahmad Fairuz?" Hanipa mempersoalkan.

Beliau juga menceritakan pendedahan seorang hakim yang bersara baru-baru ini.

"Baru-baru ini, ada seorang hakim yang telah  bersara bercakap di Majlis Peguam di Pahang, dia mendedahkan bagaimana sistem kehakiman ini perlu diubah. Sebab itu jangan kita tutup mata," kata Hanipa.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment