KUALA LUMPUR: Penghormatan terhadap mendiang Karpal Singh bermula jam 3 petang ini di rumahnya di 144A Jalan Utama, Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu jenazah akan diarak pada jam 11 pagi, Ahad, 20 April, ke Batu Gantong Crematorium, Pulau Pinang.

“DAP akan membentuk Jawatankuasa Pengkebumian Kebangsaan diketuai oleh Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai, manakala Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula akan mengepalai Jawatankuasa Pengkebumian di peringkat negeri Pulau Pinang,” jelasnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Pagi ini, rakyat Malaysia meratapi pemergian pemimpin kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Karpal adalah Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Jelutong selama 8 penggal, selain pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di Kedah dan Pulau Pinang untuk empat penggal, bermula pada tahun 1974.

Selama 40 tahun, Karpal telah mengabdikan dirinya kepada perjuangan menegakkan keadilan.

Dengan pemergian beliau, DAP hilang seorang pemimpin yang berani dan luar biasa, negara hilang seorang ahli perundangan yang pintar, manakala rakyat pula hilang “harimau” yang gagah membela nasib golongan miskin, kurang berkemampuan dan terpinggir.

Karpal pernah ditahan tanpa bicara selama 18 bulan dalam Operasi Lalang, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pada tahun 1988.

Saya bertuah kerana sempat meluangkan masa dalam tahanan bersama beliau di Kem Tahanan Kamunting. Ketika itu beliau mengalami sakit belakang yang teruk, namun beliau enggan mengalah.

Bersama rakan seperjuangan yang akrab dengan beliau, Lim Kit Siang, Karpal berdepan dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Karpal ditimpa kemalangan pada tahun 2005, menyebabkan beliau lumpuh dari bahagian pinggang ke kaki.

Bagaimanapun, dengan semangat tidak kenal menyerah, beliau mengatasi kelumpuhan dan meneruskan perjuangan dalam DAP untuk membentuk Malaysia yang lebih baik. Karpal menjadi orang kurang upaya pertama memenangi kerusi parlimen sebanyak dua kali dengan beza undi yang besar.

Karpal baru saja didapati bersalah di bawah Akta Hasutan bulan lalu dan beliau sedang membuat rayuan untuk kes itu.

Bagaimanapun, tiada penindasan mampu membuatkan Karpal lari daripada perjuangan membentuk negara Malaysia untuk bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Pemergian Karpal meninggalkan ruang kosong yang besar dalam kehidupan keluarganya dan juga semua warga Malaysia yang kehidupan mereka diinspirasikan oleh perjuangannya yang berprinsip.

Buat keluarga Karpal, DAP berkongsi kesedihan dengan pemergian beliau dan menyampaikan rasa simpati serta ucapan takziah tidak terhingga.

Sebagai penghormatan buat Karpal dan untuk mengenang beliau, DAP menangguhkan semua acara dan majlis parti di seluruh negara sehingga ke suatu tempoh selepas pengkebumian.

Semua pejabat DAP di seluruh negara juga diminta untuk mengibarkan bendera separuh tiang selama seminggu sebagai mengenang pemergian tokoh besar kita.

DAP akan membentuk Jawatankuasa Pengkebumian Kebangsaan diketuai oleh Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai, manakala Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula akan mengepalai Jawatankuasa Pengkebumian di peringkat negeri Pulau Pinang.

Kedua-dua mereka akan mengumumkan perincian tentang ahli jawatankuasa serta aturcara pengkebumian nanti setelah berunding dengan anggota keluarga Karpal.

Penghormatan terhadap jenazah akan dimulakan pada jam 3 petang ini di rumah sdr. Karpal Singh di 144A Jalan Utama, Pulau Pinang. Jenazah akan diarak pada jam 11 pagi, Ahad, 20 April, ke Batu Gantong Crematorium, Pulau Pinang.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment