Pelaksanaan GST boleh ditangguhkan, kata timbalan menteri

Demonstrasi jalanan di sekitar ibu kota membantah pelaksanaan GST yang ditetapkan bermula April tahun depan. Gambar fail The Malaysian Insider.Demonstrasi jalanan di sekitar ibu kota membantah pelaksanaan GST yang ditetapkan bermula April tahun depan. Gambar fail The Malaysian Insider.

Walaupun ditetapkan pelaksanaannya mulai April 2015, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh ditangguhkan jika keadaan tidak kondusif.

Katanya, kerajaan masih lagi mengkaji dan melihat sama ada sistem cukai tersebut sesuai atau tidak untuk diperkenalkan.

"Persoalan mengenai GST ini ialah sama ada mahu melaksanakannya atau tidak, kerajaan tetapkan tarikh pada 1 April 2015, tetapi sebelum sampai tarikh tersebut macam-macam boleh berlaku. Kalau sekiranya keadaan pada waktu GST ini hendak dilaksanakan tidak kondusif, saya percaya rakyat akan beri pandangan."

"Malah saya sendiri sebagai pengguna akan beri pandangan ia belum sesuai dilaksanakan dan saya percaya kerajaan akan menangguhkannya," katanya dalam kenyataannya, lapor Utusan Malaysia.

Razali berkata, kadar 6% yang ditetapkan oleh kerajaan juga boleh dikurangkan jika keadaan ekonomi berada pada tahap yang memberangsangkan.

"Ketika ini keadaan ekonomi global agak lembap, bukan di negara kita sahaja dan kerana itu kerajaan meletakkan kadar cukai kepada 6%. Namun jika tiba masa untuk laksanakannya, ekonomi negara berada dalam keadaan baik, kadar itu boleh dikurangkan," katanya seperti dilaporkan Utusan.

Pelbagai pihak membuat pelbagai program bagi membantah pelaksanaan GST di negara ini.

Ketika dibentangkan di Dewan Rakyat, ia turut dibantah oleh semua ahli Parlimen pembangkang.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata PR akan melakukan bantahan ke seluruh negara mengenai perkara itu.

"Kami akan turun padang membantah pelaksanaan GST ini di seluruh negara. Ini jenayah. Kamu biarkan ketirisan dan rasuah berlaku. Kamu biarkan rakyat tanggung bebannya. Kami akan lawan habis-habisan," katanya pada perbahasan Belanjawan 2014, di sidang Dewan Rakyat.

Antara isu utama bantahan ini adalah kadar 6% yang akan dikenakan sebagai cukai itu.

Ini kerana, ia dianggap tinggi bahkan beberapa negara yang melaksanakan GST juga memulakan dengan kadar yang lebih rendah.

Singapura memulakan GST dengan mengenakan cukai 3% sahaja.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment