KOTA BHARU: Bekas Presiden Berjasa, Datuk Wan Hashim Wan Ahmad tidak yakin anggota-anggota parlimen (MP) Umno akan mengundi menyokong perundangan syariah apabila dibawa ke parlimen nanti.

Beliau berkata, kenyataan beberapa pemimpin Umno kononnya mahu menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan disifatkan hanya sekadar retorik politik semata-mata.

Katanya, banyak tindak tanduk sebelum ini tidak mencerminkan apa yang dinyatakan melalui media, kerana parti itu sendiri tidak berminat dengan perundangan Islam.

“Kalau benar pemimpin Umno mahu perundangan hudud dilaksanakan sudah tentu mereka sejak dari awal lagi menyokong enakmen tersebut dan bukan banyak berdolak dalih."

“Sekali sokong dan pada waktu lain pula tidak sokong, kononnya pula hudud PAS dan macam-macam lagi. Bagaimana mereka hendak beri keyakinan kepada orang ramai,” katanya yang juga seorang peguam veteran.

Pada 2 April lalu kerajaan Kelantan mengumumkan mahu membawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II ke parlimen melalui usul persendirian bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan.

Sebelum itu beberapa pemimpin Umno termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, anggota parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan anggota parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan bersedia menyokong perundangan syariat apabila dibawa ke parlimen.

Wan Hashim berkata, rakyat boleh tengok nanti anggota parlimen Umno mana yang akan menyokong Enakmen Hudud apabila tiba masanya.

“Berdasar pengalaman lampau bermacam-macam alasan diberi anggota parlimen Umno dan kemungkinan yang tidak boleh ditolak, mereka tidak hadir ketika hari usul tersebut dibawa ke parlimen."

“Selepas ini ada yang akan kata sakit perut, demam dan seribu satu alasan lagi. Kenyataan mereka sekarang hanya sekadar gimik mahu berselindung di sebalik hudud,” katanya yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri.

Sementara itu bekas anggota parlimen Tanah Merah, Abdul Ghafar Ibrahim berkata, sudah sampai masanya Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dibawa ke parlimen bagi memperlihatkan sokongan anggota-anggota parlimen beragama Islam.

Katanya, keikhlasan dan hasrat sebenar anggota parlimen sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang dapat dilihat ketika undian dilakukan bagi menyokong usul tersebut.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment