Peguam tidak sekata keperluan RCI tragedi Memali

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Ibrahim Mahmud ataupun Ibrahim Libya (dengan cermin mata) dengan penyokongnya semasa hari pencalonan pada Pilihan Raya Umum 1978. Beliau bertanding dua kali dalam Pilihan Raya Umum di bawah PAS pada tahun 1978 dan 1982. – Gambar The Malaysian Insider pic oleh Hasnoor Hussain, 5 April, 2014.  
Ibrahim Mahmud ataupun Ibrahim Libya (dengan cermin mata) dengan penyokongnya semasa hari pencalonan pada Pilihan Raya Umum 1978. Beliau bertanding dua kali dalam Pilihan Raya Umum di bawah PAS pada tahun 1978 dan 1982. – Gambar The Malaysian Insider pic oleh Hasnoor Hussain, 5 April, 2014.

Pakar perundangan berbelah bahagi sama ada menjadi keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tragedi Memali yang meragut 14 nyawa orang awam dan empat anggota polis 29 tahun lalu.

Seorang peguam mengakui insiden itu menjadi titik hitam sejarah negara selepas kemerdekaan dan 22 tahun pentadbiran mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang perlu didedahkan kepada umum.

Peguam lain daripada PAS turut meminta satu siasatan dilakukan kerana sehingga kini rakyat dihidangkan dengan propaganda kerajaan berhubung tragedi Memali yang berlaku pada pagi 19 November 1985.

Manakala seorang peguam jenayah lain meragui jika RCI dapat memainkan peranannya kerana insiden itu berlaku sudah tiga puluh tahun yang lalu.

Reaksi tersebut diberikan selepas pihak pembangkang dan bekas pegawai kanan polis menggesa siasatan insiden Memali dibuka semula.

Pada peristiwa yang berlangsung pada 1985 itu, sebahagian 40 anggota polis menyerbu kampung tersebut bagi menahan pemimpin agama Ibrahim Mahmud atau juga dikenali sebagai Ibrahim Libya kerana dituduh menyebarkan ajaran sesat.

Ibrahim enggan menyerahkan diri kepada pihak berkuasa yang mahu menahannya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan menyebabkan kepada insiden pembunuhan.

Sivarasa Rasiah berkata tiada tempoh tertentu bagi mengadakan RCI Memali sambil menggesa siasatan itu perlu diadakan bagi mengetahui siapakah yang mengeluarkan arahan tembakan.

Bagaimanapun, Sivarasa yang juga merupakan ahli Parlimen Subang turut menggesa Suruhanjaya Rekonsiliasi dan Kebenaran ditubuhkan bagi menyiasat insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan rusuhan Kampung Medan yang berlaku pada Mac 2001.

Dalam rusuhan di Kampung Medan, enam orang mati sementara 40 yang lain cedera.

Insiden tersebut mengundang rasa takut, curiga dan trauma selepas kumpulan berparang, pedang samurai, batang besi dan kayu mencari mangsa untuk dibunuh.

Sivarasa berkata suruhanjaya seumpama itu diadakan di Timor Leste dan Afrika Selatan sebagai sebahagian proses penyembuhan negara.

“Penubuhan suruhanjaya itu akan menggalakkan mereka yang bersalah mengaku apa yang mereka lakukan kerana mereka tidak perlu bimbang mengenai hukuman,” katanya tiga insiden yang berlaku sejak 1969 hingga 2001 mencetuskan perpecahan dan rasa curiga sesama rakyat serta kepada pihak pemerintah.

Mohamed Hanipa Maidin bersetuju siasatan tragedi Memali relevan kerana setakat ini kerajaan hanya menyalurkan propaganda kepada rakyat terhadap insiden itu.

Hanipa yang juga ahli jawatankuasa PAS dan ahli Parlimen Sepang berkata kerajaan hanya membentangkan Kertas Putih tidak lama selepas insiden itu.

“Pada masa itu tiada media alternatif seperti portal berita. Kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya menyalurkan maklumat apa yang perlu diketahui rakyat sahaja,” katanya.

Beliau berkata RCI menjadi satu keperluan sekarang setelah fakta baru membongkarkan Dr Mahathir berada di Malaysia semasa kejadian itu.

Bagaimanapun, peguam M Athimulan mempersoalkan siasatan selepas 30 tahun insiden itu dengan berkata, “Ia mengaibkan saksi atau memberi kredibiliti kepada keterangan saksi utama.”

Athimulan berkata dalam sesebuah RCI yang ideal, perlu wujud tindakan susulan oleh pihak pendakwa raya atau Peguam Negara berdasarkan cadangan yang dikemukakan.

“Apakah tindakan yang akan diambil kerajaan sekarang berhubung pendedahan insiden suatu masa dahulu?” katanya.

Awal minggu ini, penasihat DAP Lim Kit Siang menggesa satu RCI ditubuhkan selagi Dr Mahathir dan bekas timbalannya, Tun Musa Hitam masih hidup supaya dapat mengesahkan kejadian itu.

Lim yang juga ahli Parlimen pada tahun 1985 berkata sejak 29 tahun lalu, Dr Mahathir terlepas daripada tuduhan membunuh dalam peristiwa itu kerana berada di China.‎

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment