PAS P Pinang ikrar bantu DAP kekalkan Bkt Gelugor

 
Atas semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat, PAS Pulau Pinang mengerahkan jenteranya "semaksima mungkin" membantu DAP mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil parlimen Bukit Gelugor 25 Mei depan.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohamad Sabu berkata Dewan Harian PAS negeri yang bermesyuarat menubuhkan jawatankuasa pilihan raya kecil bagi membantu calon DAP mempertahankan kerusi parlimen itu.

Beliau adalah kawan rapat dan teman sepanjara dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

"Jentera kita mula bekerja dari sekarang sehingga 25 Mei untuk memenangkan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Mohamad yang mesra dipanggil 'Abang Mat' berkata beliau dilantik sebagai penasihat, manakala ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengetuai jawatankuasa pilihan raya kecil bagi PAS negeri itu.

Mohamad juga menepis desas-desus bahawa namanya disebut-sebut menjadi calon dalam pilihan raya kecil parlimen itu, sebaliknya beliau menegaskan kerusi itu merupakan kerusi milik DAP.

"Berita itu daripada cakap-cakap di bawahan. Kita (PAS) akan bantu calon DAP," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada 25 Mei, penamaan calon pada 12 Mei manakala pengundian awal pada 21 Mei.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh, dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak pada 17 April lepas.
  
Dalam pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh, 74, menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam.

Abdul Aziz berkata bagi Pilihan raya kecil (PRK) itu, Dewan Sri Pinang, Georgetown dipilih sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Sebanyak 21 pusat pengundian akan dibuka, 17 daripadanya untuk pengundian biasa dan selebihnya untuk pengundian awal.
  
Seramai 82,431 pemilih berdaftar terdiri daripada 82,255 pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment