PAS Kedah imbau protes 1974 bantu petani miskin

 
Pada tahun 1974, pekan Baling di Kedah dikejutkan oleh demonstrasi besar-besaran oleh Barisan Tindakan Kesatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia bagi menuntut hak-hak petani.

Mereka membantah harga getah yang rendah, yang mereka dakwa, menyebabkan ramai penoreh getah hidup dalam kelaparan hingga ke tahap kebuluran.

Hari ini, PAS Kedah berharap orang ramai dari seluruh negara akan menghadiri himpunan peringatan kejadian itu di Padang Awam Kupang di Baling mulai jam 3 petang hingga tengah malam.

Ketua Pembangkang PAS Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah memberi jaminan bahawa tidak akan ada berlaku sebarang masalah di himpunan tersebut, yang akan menyaksikan beberapa pemimpin kontroversi berucap kepada orang ramai.

Mereka termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar, pemimpin pelajar dan yang lainnya yang menyertai dalam protes tahun 1974 itu.

Menurut Amiruddin, himpunan itu bertujuan untuk mengetengahkan rungutan penoreh getah, yang didakwanya telah diabaikan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.

"Keadaan ini semakin teruk bagi mereka terutama dengan kenaikan harga barangan keperluan asas termasuk makanan dan harga minyak," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, sebelum ini mereka dapat menjual satu kilogram getah untuk 25 sen, yang kira-kira sama dengan harga gula ketika itu.

"Hari ini, harga gula ialah RM2.50 sekilogram, manakala getah hanya RM2.40," katanya sambil menambah harga getah telah menurun sejak Januari tahun ini, yang ketika itu RM3 sekilogram.

Adalah menarik untuk mendengar ucapan Anwar malam ini kerana penglibatannya dalam protes di Baling itu telah melancarkan kerjayanya dalam politik, semasa beliau ketika itu memimpin Angkaan Belia Islam Malaysia.

Berikutan protes itu, Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyertai Umno, di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar cepat naik dalam hirarki parti sehingga menjadi timbalan perdana menteri sebelum dipecat daripada jawatan itu dan dihukum penjara enam tahun bagi tuduhan kes liwat pada tahun 1998 - tahun lahirnya gerakan politik reformasi.


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment