KUALA LUMPUR: PAS akan menganjurkan satu majlis keadilan Memali bagi menerang dan memperjuangkan hak keluarga yang menjadi mangsa dalam peristiwa berdarah Memali pada 23 Mei nanti.

Berkata pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar memberitahu majlia keadilan itu akan diadakan di sebuah madrasah yang diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya.

"Kita akan menganjurkan satu majlis keadilan Memali pada 23 Mei nanti bagi memberi penerangan dan keadilan kepada mereka tentang fakta-fakta sebenar di sebalik insiden tersebut."

"23 Mei dipilih oleh Presiden PAS dan lokasinya di madrasah yang diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Libya," katanya. Hadir sama ialah timbalannya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Fazizi Ahmad Kamil.

Jelas beliau, beberapa tokoh yang terlibat pada peristiwa tersebut turut dipanggil bagi memberi penerangan tentang kejadian itu.

"Kita jemput semua hadir, media paling utama untuk mereka ketahui kebenaran sebalik kejadian, yang selama ini dipesongkan fakta."

"Biar mereka mendengar sendiri apa yang akan dikatakan oleh orang kampung yang terlibat dan masih hidup sehingga sekarang," sambung beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz yang juga merancangkan untuk membawa keluarga-keluarga mangsa serta mereka yang terlibat bertemu dengan bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Musa Hitam bagi merungkaikan segala persoalan yang timbul.

"Selepas bertemu dengan Musa, saya akan membawa mereka semua ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menuntut hak yang sebenar, tarikh akan dimaklumkan," sambung beliau.

Ekoran daripada penerangan Musa, beliau menegaskan agar kerajaan menarik balik kertas putih dan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat kejadian sebenar.

Katanya, jika kerajaan masih enggan menubuhkan RCI, beliau bersama-sama keluarga mangsa itu akan bertemu dengan Majlis Raja-Raja dan seterusnya berjumpa Yang di-Pertuan Agong.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment