Parlimen Malaysia ucap takziah pada keluarga Karpal

Seluruh warga Parlimen Malaysia hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya awal pagi ini.
  
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata Parlimen Malaysia kehilangan seorang tokoh politik yang telah banyak mewarnai sejarah politik negara sejajar dengan amalan demokrasi berparlimen.

"Secara peribadi, saya kehilangan seorang 'kawan dalam lawan' dan kali terakhir mendiang sempat mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2013 semasa Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Malaysia Ke-13 baru-baru ini," katanya dalam kenyataan di sini.
  
Pandikar Amin juga berharap keluarga, rakan dan kenalan bekas Pengerusi DAP itu tabah dan sabar dengan pemergian mendiang.
  
"Semoga roh mendiang akan disemadikan dengan penuh ketenangan jua," katanya.

Dalam pada itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini diminta bertafakur seminit sebelum persidangan bermula bagi menghormati kematian Karpal.
  
Speaker Hannah Yeoh berkata kematian Karpal itu memeranjatkan seluruh rakyat Malaysia, selain menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin DAP yang amat disanjungi oleh parti.
  
Kemalangan pada jam 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar itu turut mengorbankan pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius, 40-an.
  
Menurut polis, kenderaan Toyota Alphard serba guna (MPV) yang dinaiki Karpal, 74, dan empat orang lain dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek.
  
Lori berkenaan dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara lebuhraya berkenaan memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment