KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menentang sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan semata-mata untuk sokongan politik, kerana jika itu tujuannya ia akan membiarkan sahaja kerajaan melaksanakan dasar itu supaya BN ditolak rakyat dalam pilihanraya akan datang.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata demikian ketika menyangkal serangan Ahli Parlimen BN di Parlimen kelmarin yang menyebut kononnya Pakatan menentang GST hanya untuk mendapatkan sokongan politik.

Beliau menjelaskan bahawa jika benar Pakatan hanya mahu keuntungan politik, ia boleh membiarkan saja GST dilaksanakan supaya “semua rakyat nampak bahawa kerajaan BN buat mereka sengsara, tambah beban mereka”.

Beliau mengambil contoh Progressive Conservative Party (PCP) Kanada yang kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum, dua tahun selepas melaksanakan cukai itu.

“Progressive Conservative Party laksanakan GST. Pada pilihan raya pada 1993, dua tahun selepas laksanakannya, mereka hanya tinggal dua kerusi."

“Pada tahun 2003, parti itu dibubarkan. Ini akan terjadi selepas (kerajaan BN) meluluskan dasar itu,” katanya.

GST diperkenalkan di Kanada pada 1 Januari 1991 oleh Kerajaan CPP di bawah Perdana Menteri Brian Mulroney.

Dalam pilihanraya dua tahun kemudian, PCP hanya menang dua daripada 295 calonnya yang bertanding, serta 16.04 peratus undi popular. Walhal, pada pilihanraya sebelumnya (1988), mereka menang 169 kerusi.

Pada 7 Disember 2003, parti itu dibubarkan dan bergabung dengan pakatan Canadian Alliance dan membentuk Conservative Party.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu turut menyangkal kenyataan BN bahawa GST hanya menambah cukai golongan kaya, bukannya miskin.

“Kenyataan itu tidak ambil kira peratusan perbelanjaan seseorang. Katakan saya dengan gaji RM1,000 dengan perbelanjaan juga RM1,000. Dengan cukai 6 peratus, saya perlu bayar RM60."

“Jika gaji saya RM20,000, perbelanjaan saya RM10,000 dan bakinya disimpan untuk pelaburan. Saya perlu bayar cukai RM600 (6 peratus daripada perbelanjaan)."

“Maka sebenarnya, orang berpendapatan kecil bayar cukai enam peratus (RM60 daripada pendapatan RM1,000) manakala orang berpendapatan besar hanya bayar tiga peratus (RM600 daripada pendapatan RM20,000),” katanya lagi.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment