Pakatan, BN Selangor ucap takziah kepada keluarga Karpal Singh

OLEH JAMILAH KAMARUDIN

Wakil rakyat Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) hari ini merakamkan takziah diatas pemergian tokoh veteran DAP, Karpal Singh yang maut dalam kemalangan jalan raya awal pagi ini.‎

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menyifatkan mendiang sebagai tokoh politik yang amat disegani kawan dan digeruni lawan telah menyumbang banyak jasa terutamanya kepada penyatuan PR.

Katanya, kredibiliti dan integriti beliau berpolitik berlandaskan prinsip Perlembagaan menjadi sumber inspirasi kepada ahli politik generasi baru untuk memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat.

"Jasa dan sumbangan Karpal Singh sebagai pejuang hak asasi dan ahli politik yang banyak mewarnai dunia politik negara ini dengan pelbagai isu akan dikenang seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyatakan kesedihan terhadap Karpal yang disifatkannya peguam bela rakyat tanpa mengenal latar belakang termasuk pernah membela dua orang ustaz yang pernah dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Pemergian Karpal bukan sahaja sebagai peguam tetapi juga sebagai sahabat dan juga orang yang berprinsip membela mereka yang tertindas," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Dr Abdul Rani Osman berkata, PAS mengucapkan takziah atas hilangnya seorang tokoh yang memperjuangkan hak rakyat dengan gigih.

"Pada saya ia satu kerugian dan kehilangan kepada perjuangan menegakkan kebenaran," katanya.

Adun BN-Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi ketika ditemui turut mengucapkan takziah kepada keluarga Karpal yang disifatkannya sebagai orang lama yang telah mewarnai dunia politik.

Beliau turut menegur bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin menyiarkan kenyataan dalam laman sosial "Twitter" yang mengaitkan Karpal dengan usaha kerajaan Kelantan mewujudkan undang-undang hudud.

"Kita sebagai orang Islam ada adab daripada soal bagaimana kita menghormati kematian walaupun mereka tak sealiran pandangan," katanya.

Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh semasa awal persidangan pada pagi tadi turut meminta Dewan berdiri dan bertafakur selama minit bagi menghormati kejadian yang menimpa Karpal.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu yang berusia 73 tahun, dan pembantunya Michael Cornelius terbunuh selepas MPV Toyota Alphard yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori pada pukul 12.40 pagi tadi di KM306.1 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Gua Tempurong di Kampar, Perak.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment