Pakatan bawa usul salah laku terhadap tiga hakim Mahkamah Rayuan esok

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Pakatan Rakyat (PR) akan membawa usul salah laku tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Aziah Ali, Datuk Balia Yusuf Wahi dan Datuk Mohd Zawawi Saleh ke Dewan Rakyat esok sekiranya dibenarkan Yang Dipertua.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli (gambar) berkata usul itu sepatutnya diletakkan di dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat esok, namun Yang Dipertua mungkin mengelak daripada membincangkanya dan memilih usul lain daripada kerajaan.

“Ini dibuat mengikut Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Parlimen membincangkan kelakuan hakim. Usul berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya satu perempat sokongan ahli parlimen atau seramai 55 orang."

“Usul yang difailkan pada 26 Mac lalu yang difailkan oleh Ahli Parlimen Gombak Mohammed Azmin Ali mendapat sokongan 63 ahli Parlimen pada hari sama,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal bulan lalu dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun kerana meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Hukuman itu dipercayai bagi menghalang Anwar untuk bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang yang akan berlangsung pada bulan sama.

Rafizi berkata dengan usul yang dikemukakan esok, ia akan memberi satu peringatan kepada hakim bahawa tindak-tanduk mereka diperhatikan rakyat.

“PR akan menggunakan sepenuh peruntukan Perlembagaan untuk menegur kelakuan hakim yang dilihat mencemar kredibiliti dan kebebasan institusi kehakiman,” katanya.

Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa berkata usul yang dikemukakan esok merupakan usul kedua yang pernah dibawa ke Parlimen setelah yang pertama dibawa oleh Karpal Singh.

Katanya, usul pertama pada 2008, Karpal mengambil inisiatif mengkritik bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi semasa menjadi peguam mengaku memberi rasuah kepaa pegawai mahkamah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata dengan peruntukan yang diberi dalam Perlembagaan, ini merupakan peluang yang baik bagi melakukan semakan kepada badan kehakiman.

“Kita menghormati pengasingan kuasa antara kehakiman, eksekutif dan perundangan namun terdapat mekanisme untuk menyemak dan mengimbang antara satu sama lain."

“Di dalam Perlembagaan, kami mahu menghantar mesej untuk memeriksa sistem agar setiap orang melakukan kerja mereka dari segi integriti kehakiman dan cabang kerajaan."

“Ini harus dipersetujui Yang Dipertua kerana satu bentuk semakan yang kita ada,” katanya.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment