#MH370 - Senarai Percanggahan Maklumat

TITAH UCAPAN YDP AGONG: PERBAHASAN OLEH DR SYED HUSIN ALI

mas777a 
Kebetulan dengan kehendak Allah, beberapa jam selepas Anwar dijatuhkan hukuman, sebuah pesawat milik Syarikat MAS, MH370 telah hilang lesap di tengah perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Beijing. Tidak lama kemudian sebuah lagi pesawat MAS berlanggar dengan burung di Nepal dan menimbulkan kecemasan serta kerosakan jua khabarnya.

Lepas itu sebuah pesawat MAS dalam perjalanan ke Korea terpaksa dipesongkan ke Hong Kong oleh kerana mengalami masalah enjin. Akhirnya, sebuah lagi kapal terbang yang dijangka berangkat ke England terpaksa ditangguhkan empat jam kerana menghadapi masalah jentera juga.
Semua yang berlaku ini telah menambah beban kewangan ke atas Syarikat MAS, yang sepanjang  tiga tahun yang lalu telah merekodkan kerugian lebih daripada RM4 bilion. Selain itu ia mengakibatkan publisiti buruk ke atas MAS yang sudah pasti akan mempunyai kesan negatif ke atas nama, prestij dan perniagaan MAS pada jangka panjang.

Sehingga kini tidak diketahui dengan tepat kenapa dan ke mana sebenarnya MH370 telah hilang. Teorinya sangat banyak, yang tidak perlu kita bincangkan di sini. Yang penting ialah dalam tempoh beberapa jam setelah putus hubungan di antara pesawat dengan menara kawalan, tiada tanda tindakan yang cepat dan tegas diambil oleh pihak Kerajaan dan jabatan-jabatan yang berkenaan. Benarkah PM mengetahui hanya selepas dimaklumkan oleh isteri?

Selepas diam tanpa memberi penjelasan tentang apa yang berlaku, pihak berkuasa DCA dan MAS kemudiannya mengadakan sidang akhbar bagi wartawan dalam dan luar negara. Penjelasan diberi selalu kelam kabut, tidak tepat, kurang jelas dan bercanggah. Bahkan selepas Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Hishamuddin Tun Hussein mengambil alih masih berlaku hal ini walaupun berkurangan. 
Antaranya ialah maklumat-maklumat tentang:

IMG_1237 (1280x1004) 
1. Dua orang yang menggunakan pasport orang lain; sekejap dikatakan orang berbentuk Asia, kemudian dikatakan berkulit hitam dan akhirnya baru disebut orang Iran.

2.  Empat orang penumpang dikatakan “check in” tetapi seorang pegawai mengatakan mereka tidak menaiki pesawat dan barang mereka dibawa keluar dan seorang lagi mengatakan pula mereka naik.

3. Seorang General Udara mula-mula mengatakan pesawat patah balik, akan tetapi keesokannya beliau menafikan membuat kenyataan tersebut.

4. Apabila timbul kritikan kenapa radar Malaysia tidak dapat mengesan pesawat, pihak tentera menyatakan mereka sangka ada kebenaran daripada menara pengawalan untuk pesawat pusing balik.

5. Lepas itu timbul pula cerita kononya pesawat terbang rendah dan tidak boleh “ditangkap” oleh radar. Timbul juga dakwaan mungkin pegawai yang menjaga cuai atau radar tidak diservis dan kurang berfungsi.

6. Timbalan Menteri Pengangkutan membuat kenyataan dalam Parlimen bahawa Angkatan Udara Diraja mungkin tidak memintas pesawat kerana menganggap menara kawalan telah memberi laluan, dan apabila dicabar beliau terpaksa menarik balik kenyataannya kerana ia hanya berdasarkan persepsi.

7. Kenyataan rasmi tentang pesawat telah patah balik dibuat hanya selepas empat hari.  Ertinya  selama empat hari China dan Vietnam terutamanya membuang masa mencari di Teluk Siam; mereka timbul marah sehingga menuduh Malaysia tidak mahu berkongsi maklumat.

8. Kenyataan pertama yang dibuat PM Najib tidak pasti dan masih samar-samar, kerana beliau memberi anggapan bahawa pesawat berkemungkinan ke Utara hingga Uzbekistan atau ke Selatan hingga Lautan Hindi. Masa dan belanja juga terbuang mencari di utara.

9. Dalam kenyataan rasmi keduanya PM Najib menegaskan bahawa berdasarkan maklumat-maklumat dan kira-kira yang dibuat oleh Anmarsat dan lain-lain, pesawat berakhir di Lautan Hindi Selatan. Walaupun beliau tidak menyebutnya, MAS menjelaskan semua penumpang mati.

10. Hishamuddin Hussein seolah-olah menafikan maklumat tentang semua penumpang mati kerana beliau selepas itu berkata “miracles can happen” dan berdoa ada yang hidup.

11. IGP memberi kenyataan bahawa semua penumpang dan kakitangan pesawat (termasuk pilot) telah dibersihkan, akan tetapi Pemangku Menteri Pengangkutan Hishamuddin menafikannya; kata beliau selagi kotak hitam belum dijumpai tidak semua boleh dibersihkan.

12. Rekod perbualan antara pilot dengan menara kawalan hanya dikeluarkan selepas terbocor kepada akhbar tempatan dan luar negara yang menerbitkannya. Didapati pada penghujungnya seorang yang masih belum dikenal pasti menyebut “Good night Malaysia 370” dan bukan “All right, good night” sebagaimana diterangkan dalam sidang akhbar lama sebelum itu.

Percanggahan maklumat yang memperlihatkan pihak Kerajaan, DCA dan MAS berdolak dalik dan bercanggah berlaku  kerana jurucakap bukan seorang saja yang profesional. Semasa Menteri menjadi jurucakap utama pun ada beberapa orang pegawai awam, polis atau tentera bahkan menteri lain juga yang bercakap dan memberikan pendapat, kadang-kadang berlainan..
Selain itu ada pembocoran maklumat kepada media luar yang mendakwa sumber mereka ialah pegawai tinggi dan berkali-kali Menteri kena menafikan. Yang tidak dapat di nafi ialah perbualan pilot-menara kawalan, kerana direkodkan dan diterbitkan. Sebaliknya senarai kargo pesawat (cargo manifest) MH370 sampai sekarang masih belum diumumkan. Adakah menunggu sampai ia dibocorkan? Saya menggesa supaya senarai atau manifes ini hendaklah segera diumumkan, kerana melengahkannya sudah menimbulkan banyak persoalan dan syak wasangka.

Daripada segala ini negara dan media asing, pakar-pakar di luar dan bahkan juga sebahagian orang awam tempatan merasa tidak puas hati. Sebuah kajian menunjukkan 50 peratus yang dikaji di negara ini tidak mempercayai maklumat yang diberikan oleh pihak Kerajaan. Kerajaan, tentera (udara dan darat), imigresen, kastam dan lain-lain memperlihatkan ketidakcekapan.

Maka timbullah soalan: adakah kerana tidak cekap saja, atau adakah Kerajaan mahu menyembunyikan sesuatu?

Apabila pusat maklumat dan pencarian berpindah dari Kuala Lumpur ke Perth, kita lihat Perdana Menteri Australia membuat kenyataan-kenyataan dan menjawab soalan-soalan. Beliau melaporkan kepada Parlimen beberapa perkembangan semasa Parlimen bersidang.

Akan tetapi apa yang berlaku di sini? Taklimat hanya diberi kepada anggota Parlimen UMNO-BN dan dalam majlis makan malam di sebuah hotel pula. Mengapa tidak boleh diberi kepada anggota Parlimen Pembangkang? Kenapa mesti tunggu dulu laporan daripada tiga jawatankuasa yang telah dibentuk? Adakah maklumat-maklumat yang diberi sehingga kini tidak boleh dipercayai?

Kenapakah Perdana Menteri tidak mahu atau tidak berani menjawab soalan selepas dua kali beliau membuat kenyataan kepada media dunia? Kenapakah beliau tidak melaporkan perkembangan kepada Parlimen? Mengapa tidak mahu dan tidak berani telus? Apakah yang hendak disembunyikan? Adakah buaya di sebalik batu?

Saya berpendapat tidak mencukupi hanya dengan membentuk tiga jawatankuasa. Tidak memadai juga sekiranya dibentuk jawatankuasa Parlimen. Bahkan Suruhanjaya Diraja tempatan pun tidak boleh dipercayai atau diharapkan. Oleh itu saya mengalu-alukan langkah Kerajaan untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Antarabangsa. Suruhanjaya ini hendaklah betul-betul bebas dan berwibawa, bukan saja untuk menyiasat. Akan tetapi ia hendaklah juga mempunyai kuasa memastikan bahawa perakuannya dilaksanakan oleh Kerajaan.
 
Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment