Memali: Dr Mahathir ada di Kuala Lumpur dengar taklimat bersama pemangku KPN, kata Musa
















Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam (gambar) berkata beliau dan pemangku ketua polis negara pada masa itu memberikan taklimat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu pada hari kejadian Memali, 19 November 1985.

Dalam pertemuan itu, beliau memohon Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke China atas tiga sebab:
1. Peristiwa ini berlaku di Kedah; negeri perdana menteri sendiri.
2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.
3. Dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir menunjukkan beliau mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang berlaku di dalam negeri.

Bagaimanapun, Musa berkata, Dr Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke China.

"Saya memaklumkan kepadanya cadangan untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen," kata Musa dalam satu kenyataan bertulis, hari ini.

Musa menjelaskan perkara itu susulan polemik yang timbul selepas kenyataannya dalam satu forum di Kota Baru sebelum ini mengenai Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur dan bukannya di China ketika kejadian Memali yang menyebabkan 14 orang dan empat anggota polis terbunuh.

Musa berkata, beliau tidak berniat mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali.

"Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan," katanya merujuk kepada diskusi di Kota Baru itu yang turut disertai Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Profesor Dr Mohammad Agus Yusof sebagai moderator.

Berikutan dakwaannya itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan mengkaji semula kenyataan Musa dan akan memberikan jawapan selepas kajian dibuat kerana perkara itu sudah lama berlaku.

Ketika Dr Mahathir berdiam diri, pelbagai tulisan dan kenyataan dikeluarkan oleh penyokong Dr Mahathir untuk mempertahankan beliau termasuk bekas menteri penerangan dan ketua pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zainudin Maidin yang lebih dikenali sebagai Zam.

Zam berkata, Dr Mahathir berada di China pada ketika itu tetapi ia berdasarkan ingatan beliau sahaja.

Musa berkata:"Berdasarkan penyelidikan daripada bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyata Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali, dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri pada hari tersebut.”

Katanya, pengakuan beliau Dr Mahathir berada di dalam negara ketika peristiwa Memali juga ditegaskan sebelum ini.

Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan beliau terhadap seorang penulis di mahkamah beberapa tahun lalu (ketika Dr Mahathir masih perdana menteri) di mana beliau berjaya dalam kes itu, peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah beliau memangku jawatan perdana menteri.

"Saya beri jawapan konsisten iaitu beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri. Tetapi tidak ada media yang sedia melaporkan fakta ini," katanya.

Katanya, sekian lama beliau dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh PAS.

"Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga parti Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar," kata  Musa.

Musa berkata, beliau pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus mengenai peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia menemubualnya.

"Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang sedia berdepan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa."

"Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah Ilahi memakbulkan doa saya," katanya.

Ruang tersebut, katanya, memberikan beliau peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah mengenai peristiwa penting yang melibatkan dirinya.

"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang memberikan peluang kepada saya. Saya sedar perkembangan terbaru ini menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya."

"Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui kebenaran dan kepadaNya saya memohon petunjuk dan keadilan," kata Musa dalam kenyataan itu.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment