Malaysia di tangga 39 daripada 44 negara dalam ujian penyelesaian masalah PISA

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH

Malaysia sekali lagi mendapat markah corot dalam ujian penilaian pencapaian pelajar dunia, berada di tempat kumpulan terakhir di kalangan 44 negara – satu keputusan yang mengukuhkan kebimbangan ramai mengenai sistem pendidikan negara yang semakin merosot.

Malaysia berada di tangga ke-39 dengan min skor 422 dalam penilaian pertama mengenai penyelesaian masalah kreatif bagi pelajar 15 tahun yang menduduki ujian Programme for International Student Assessment (PISA), sementara negara jiran Singapura mengatasi Malaysia dengan min skor 562.

Keseluruhan min skor untuk semua negara ialah 500.

Keputusan markah yang diterima Malaysia menunjukkan pelajar yang diuji kekurangan kemahiran yang diperlukan di tempat kerja moden.

Sebaliknya, Singapura hanya mendapat 8% pecahan pencapai rendah. Itu bermakna 21.4%.

Malaysia pula hanya mendapat 0.9% pecahan pencapai tinggi berbanding 29.3% diperoleh Singapura. Pecahan Malaysia di bawah peratusan purata iaitu 11.4%.

Ini menunjukkan hanya seorang daripada 10 pelajar Malaysia, berusia 15 tahun, yang mampu menyelesaikan masalah paling kompleks, dibandingkan dengan seorang daripada lima pelajar di Singapura, Korea dan Jepun.

Negara Asia seperti Korea, Jepun, Macau-China, Hong Kong China, Shanghai-China dan Chinese Taipei menjadi antara yang tertinggi dalam senarai itu.

Pelajar dari Kanada, Australia, Finland, England, Estonia, Perancis, Belanda, Itali, Republik Czech, Jerman, Amerika Syarikat dan Belgium semuanya memperoleh markah melebihi purata.

“Sebanyak 85,000 pelajar dari 44 negara dan ekonomi mengambil ujian menggunakan komputer itu, membabitkan senario kehidupan sebenar untuk mengukur kemahiran yang akan golongan muda guna apabila berdepan dengan masalah harian, contohnya ialah memasang thermostat atau mencari jalan paling cepat untuk tiba di sesuatu destinasi,” kata Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, yang menjalankan ujian itu.

Ujian itu dilaksanakan pada 2012 dan keputusannya dikeluarkan semalam.

Malaysia memperolehi 29.1 dalam kadar penyelesaian bagi tugasan mengukur pemerolehan pengetahuan dan 29.3 untuk tugasan penggunaan pengetahuan sementara Singapura mendapat markah 62 dan 55.4 masing-masing bagi tugasan berkenaan, jauh lebih tinggi daripada markah purata semua negara iaitu 45.5 dan 46.4.

“Remaja berusia 15 tahun pada hari ini dengan kemahiran penyelesaian masalah yang lemah akan menjadi golongan dewasa yang bergelut untuk mencari atau kekal dalam pekerjaan yang baik,” kata pemangku Pengarah Pendidikan dan Kemahiran di OECD, Andreas Schleicher.

“Pembuat polisi dan pendidik perlu membentuk semula sistem sekolah dan kurikulum untuk membantu pelajar membangunkan kemahiran penyelesaian masalah mereka yang semakin diperlukan dalam ekonomi hari ini,” katanya.

Malaysia juga mendapat keputusan yang teruk dalam penilaian PISA sebelum ini yang mengukur bagaimana pencapaian pelajar di 65 negara dalam mata pelajaran matematik, sains dan membaca.

Menurut keputusan PISA pada 2012, pelajar Malaysia hanya mendapat markah di bawah purata atau berada di tangga 52 daripada 65 negara. Malah, pelajar Vietnam berada di tangga ke-17 daripada 65 negara itu.

Hanya seminggu lalu, pakar ekonomi Bank Dunia bercakap mengenai kualiti rendah sistem pendidikan Malaysia lebih membimbangkan daripada paras hutang isi rumah rakyat negara ini.

Dr Frederico Gil Sander, pakar ekonomi untuk Malaysia berkata, rakyat Malaysia perlu disedarkan mengenai pencapaian anak di sekolah lebih teruk daripada pelajar di Vietnam, iaitu negara yang jauh lebih miskin daripada Malaysia.

Pencapaian Malaysia dalam penilaian antarabangsa yang terus menyedihkan menonjolkan lagi kelemahan sistem persekolahan negara, walaupun fakta menyatakan sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar setiap tahun daripada bajet negara.

Pengkritik berkata keputusan PISA bercanggah dengan Putrajaya yang berkeras menyatakan Malaysia mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia.

Mereka juga mempersoalkan nilai sebenar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melahirkan ramai pelajar memperolehi A, tetapi tidak mampu bersaing dengan rakan sebaya mereka dari Singapura, China dan Taiwan.

Ahli politik pembangkang tanpa belas kasihan terus menyerang Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keputusan Malaysia yang buruk dalam ujian penilaian antarabangsa.

Muhyiddin kemudian mengumumkan kementerian akan menubuhkan jawatankuasa kerja khas untuk meningkatkan penilaian pelajar dalam ujian berkenaan.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment