Lepas kecaman, Zul Noordin tukar nada

 
Bekas naib presiden PERKASA Zulkifli Noordin menukar nadanya selepas dicemuh oleh pelbagai pihak ekoran kenyataannya yang didakwa tidak sensitif terhadap kematian ahli politik veteran Karpal Singh.

Zulkifli pagi ini menulis di Twitternya, Allah mematikan Karpal “yang menjadi penentang utama” pelaksanaan” hudud.

Beberapa jam selepas menulis sedemikian, Zulkifli meluahkan rasa sedih dan memperakui perjuangan Karpal menentang ketidakadilan sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat dan peguam.

Zulkifli malah menganggap ahli parlimen Bukit Gelugor itu sebagai kawannya.

"Kepada Karpal, 'ngauman' untuk rakyat miskin dan suara menentang ketidakadilan sama ada di Parlimen atau di mahkamah akan dirindui ramai."

“Selamat tinggal kawanku!" tweet beliau dalam bahasa Inggeris kira-kira jam lima petang tadi.

Beliau turut memberi ucapan takziah kepada ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang juga anak Karpal.

Selain itu, beliau berkata Karpal sebagai peguam kanan itu tidak pernah kedekut ilmu dan sentiasa bersedia membantu dan memberi idea cara-cara pengendalian kes-kes mahkamah.

"Kepada kawan saya Gobind Singh Deo dan keluarga, terimalah sedalam-dalam takziah saya. Saya pasti nama Karpal akan ditempa dengan emas dalam sejarah Malaysia." tweet beliau lagi.

'Pembangkang politikkan kematian'

Zulkifli yang juga bekas ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu itu turut mengutuk pihak pembangkang didakwanya mempolitikkan kematian Karpal.

"Pembangkang patut belajar menghormati mendiang Karpal dengan tidak terus mempolitikkan kematian beliau! Berilah penghormatan menurut agama dan kepercayaan mendiang Karpal," tweet beliau lagi.

Awal hari ini, Zulkifli memberi reaksi yang seolah-olah lega dengan pemergian pemimpin DAP Karpal Singh.

Peguam tersebut juga percaya, laluan ke arah pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaan Karpal, yang diketahui umum menentang keras pelaksanaan undang-undang Islam itu.

Kenyataan beliau itu turut menimbulkan cemuhan pelbagai pihak di media sosial, termasuk ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang juga menteri belia dan sukan. 


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment