LAGI DEKAT TARIKH PEMBUKAAN KLIA2, LAGI BANYAK KERETAKAN DIKESAN

Keretakan baru ditemui di kawasan apron dan bangunan klia2 menimbulkan keraguan terhadap tahap keselamatan terminal lapangan terbang itu beberapa minggu sebelum operasi bermula di kala Malaysia menjadi tumpuan dunia selepas pesawat MH370 hilang, kata satu sumber industri penerbangan.

Sumber industri itu memberi 13 keping gambar diambil semalam kepada The Malaysian Insider, yang mendedahkan keretakan di kawasan apron dan dinding terminal dua tingkat pesawat tambang murah itu.

“Gambar tersebut menceritakan sendiri sama ada klia2 sudah bersedia atau tidak untuk digunakan,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Ini merupakan set kedua gambar diserahkan kepada The Malaysian Insider mengenai keadaan terminal baru yang mampu menampung 45 juta penumpang melalui 64 pintu pagar itu.

Keretakan turut ditemui di bahagian apron klia2.Difahamkan pengendali klia2, Malaysia Aiports Holdings Bhd (MAHB) memberi jaminan kepada kerajaan mereka akan menjalankan kerja-kerja pemulihan yang tidak akan memberi kesan kepada pembukaan terminal dan operasi pada 2 Mei. Tarikh pembukaan sudah ditangguhkan sekurang-kurangnya lima kali.

“Putrajaya harus melihat semula tarikh pembukaan klia2 pada ketika kerja pembaikan masih lagi dilakukan. Sektor penerbangan negara ini sedang diperhatikan secara rapat oleh masyarakat antarabangsa dan kerajaan perlu melakukan perkara yang betul,” kata satu lagi sumber industri penerbangan.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melawat klia2 dua minggu lalu untuk menyemak sama ada ia bersedia untuk dibuka dan memanggil wakil MAHB dan wakil Kementerian Pengangkutan semalam berikutan masalah kelewatan dan peningkatan kos dalam pembinaan lapangan terbang tersebut.

PAC berkata mungkin akan memanggil pihak lain berhubung kelewatan itu dan ini merupakan kepentingan awam walaupun klia2 didana oleh pihak swasta.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi, berkata semalam klia2 akan dibuka pada 2 Mei dengan Cebu Pacific Air dan Malindo Air akan menjadi syarikat penerbangan tambang murah pertama menggunakan terminal itu.

Beliau berkata, Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) akan ditutup pada 9 Mei, seminggu selepas klia2 dibuka menyebabkan syarikat penerbangan tambang murah terbesar di Asia, AirAsia memberikan respon.

AirAsia berkata semalam semua operasi AirAsia dan AirAsia X akan terus kekal di LCCT walaupun selepas 9 Mei kerana terdapat beberapa isu penting yang perlu diatasi terlebih dahulu.

"Langkah untuk berpindah ke klia2 akan berlaku, tetapi ia hanya akan dijalankan selepas semua isu ditangani," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada keputusan kajian Ikram Premier Consultings (Ikram) mengenai kesediaan klia2 baru-baru ini menunjukkan wujudnya lekukan di landasan rayap/apron dan landasan yang memerlukan langkah pemulihan berkala dilakukan ke atas kawasan tertentu.

"AirAsia juga percaya kesediaan beroperasi dan tempoh perpindahan lapangan terbang (ORAT) untuk menyokong operasi AirAsia akan memerlukan lebih daripada dua bulan seperti diberikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)."

Aireen berkata, tempoh perpindahan yang ditetapkan MAHB itu tidak realistik dan terlebih optimis.

Katanya, ORAT untuk perpindahan dari terminal utama KLIA ke LCCT pada 2006 mengambil masa lebih daripada dua bulan ketika operasi AirAsia ketika itu jauh lebih kecil.

"Selain itu, terdapat perkara utama berkaitan komersial, operasi dan perkara terbuka dalam kontrak yang masih dibincangkan antara AirAsia dan MAHB yang perlu diselesaikan sebelum perpindahan ke klia2," katanya.

AirAsia berkata, kerja pembaikan akan “mengganggu operasi hab penerbangan seperti Kumpulan AirAsia yang mempunyai pergerakan 400 pesawat sehari dan sekurang-kurangnya 70 pesawat dalam kumpulan pesawatnya di LCCT”.

“Tahun lalu sahaja Kumpulan AirAsia membawa 22 juta penumpang melalui LCCT,” katanya.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pada 17 Mac Ikram Premier Consulting (IPC) mendapati terminal klia2 selamat untuk digunakan.

Hishammuddin yang juga merupakan menteri pertahanan berkata, laporan tersebut menyatakan beberapa kawasan persekitaran klia2 mengalami mendapan dan perlu diperbaiki segera meskipun tidak mendatangkan kesan keselamatan kepada pengguna.

"Berdasarkan laporan awal tersebut, pihak perunding bebas berpendapat klia2 adalah selamat untuk digunakan dan akan dibuka seperti dijadualkan pada 2 Mei ini, namun keretakan pada turapan perlu diperbaiki mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA)," katanya.

Hishammuddin berkata, pada masa sama, menteri mengambil maklum bahawa fasa kedua penilaian pihak perunding bebas akan dijalankan pada 14 April iaitu tiga minggu sebelum pembukaan klia2 bagi memastikan aspek keselamatan di landasan, laluan teksi dan tempat letak kereta apron (bahagian hadapan) dipertingkatkan.

Sumber Berita Dari Blog Omak Kau

No comments:

Post a Comment