'Kebebasan agama bukan seperti pilih Coke, Pepsi'

Forum kebebasan agama dan hak asasi manusia anjuran Pemuda PAS Lembah Pantai malam tadi berlangsung 'panas' apabila wakil NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berdepan dengan kritikan oleh penalis dan penonton yang menghadirinya.
 
Walaupun tiada kekecohan tercetus, Timbalan Presiden ISMA Aminuddin Yahya diasak hebat dengan bidasan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa, celahan hadirin yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikannya serta soalan sinis penonton.
 
Sebagai penalis yang pertama, Aminuddin menjelaskan Islam memberi dan mengiktiraf kebebasan dalam agama itu tetapi ia mesti terikat dengan prinsip maqasid syariah (tujuan-tujuan agama), iaitu menjaga agama, akal, keturunan, harta dan nyawa. 
 
Katanya, ia berbeza dengan erti kebebasan yang diperkenalkan oleh Barat bahawa keinginan manusia diberi keutamaan dan mengatasi segala-galanya, seperti dalam fahaman humanisme.
 
"Keinginan manusia diberi keutamaan, dihormati dan selagi tidak mengganggu orang lain. (Tetapi dalam Islam) jika seseorang itu buat maksiat, hukuman tidak mengira siapa."
 
"(Jadi) istilah 'mengganggu' telah diputarbelit. Dengan maksudnya ganggu (dari sudut) fizikal," katanya dalam forum bertajuk "Perjuangan Hak Asasi Manusia: Antara Agama Tanpa Kebebasan dan Kebebasan Tanpa Agama".
 
Menurutnya lagi, kebebasan beragama, dengan bebas memeluk agama dan kemudiannya menukarnya, adalah berasaskan pemikiran liberal, yang dirujuknya sebagai cabang pemikiran agama baru yang cuba merosakkan Islam dan kemanusiaan.
 
"Ini tragedi kepada Islam," kata sambil memberi contoh “hipokrasi” Amerika Syarikat yang menerajui liberalisme dan membela demokrasi tetapi masih tidak menutup penjara Guantanamo Bay.
 
Tepis celahan
 
Mempertahankan hujah termasuk menepis celahan seorang hadirin yang bernama Siti Kassim seringkali menyampuk kerana tidak berpuas hati dengan jawapannya, Aminuddin menegaskan Islam menyuruh umatnya melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran.
 
Di samping itu, beliau juga mempertahankan tindakan kerajaan Malaysia yang tidak menandatangani konvensyen di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf hak untuk murtad seperti yang dikaitkan dengan Gabungan NGO Comango.
 
"Kena ada amar makruf nahi mungkar. Kita tidak boleh menafikan nahi mungkar untuk menjaga agama. Kenapa kita nak biarkan ia berlaku. Mungkin bala Allah akan datang. Ini keimanan yang tidak ada pada Barat," katanya. 
 
Sementara itu, julung-julung kali sepentas dengan wakil ISMA - selepas beberapa kali percubaan untuk mepertemukan bersama -  Dr Ahmad Farouk mengambil kesempatan itu untuk membidas "ketakutan" Isma berhubung isu kebebasan beragama dalam hak asasi manusia.
 
Bercakap sebagai penalis yang ketiga, beliau menyifatkan gaya pemikiran yang dilontarkan oleh Aminuddin sebagai "kepungan minda" apabila menganggap Islam berdepan dengan pelbagai serangan dan ancaman.
 
"Membentuk kepungan minda adalah masalah utamanya sekarang ini. Apabila ia (kebebasan beragama) dalam konteks hak asasi menjadi kalimah yang begitu kotor," kata Ahmad Farouk.
 
Beliau turut membidas ketakutan ISMA berkaitan kebebasan beragama atau kebebasan kesedaran yang difahami mereka bahawa umat Islam akan keluar Islam secara berbondong-bondong. 
 
"Kenapa ada pemikiran begini. Saya pakai komputer Macintosh dari dulu sampai sekarang dan tidak boleh guna yang lain. Begitu juga dalam hak (kebebasan) beragama, ia menjadi keyakinan kita."
 
Coke dan Pepsi
 
"Adakah ia (kebebasan beragama) semudah memilih Coke dan Pepsi. Tidak semudah itu. Agama ada dalam diri kita dan (perlu memahaminya) dengan keadaan sedar," katanya sambil menambah keyakinan dan keimanan dalam hati "tidak boleh dipaksa-paksa" seperti cinta.
 
Menurutnya lagi, berdasarkan laporan media, kini ramai rakyat Eropah khususnya di Great Britain dan Australia ramai memeluk Islam dan nampak kepada keadilan Islam.
 
Sementara itu, ahli panel kedua Dr Zuhdi Marzuki mengambil 'jalan selamat' apabila cuba mengelak daripada mengkritik kedua-dua pihak dengan menyifatkan "memperjuangkan hak asasi adalah memperjuangkan fitrah manusia".
 
Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan dengan mengupas tajuk forum itu apabila menyatakan perjuangan hak asasi manusia adalah perjuangan supaya manusia kembali kepada fitrah dan aturan alam semula jadi. 
 
"Perjuangan hak asasi perlu kembali kepada fitrah manusia, (dan) peraturan yang sesuai dengan konteks sosial dan natural law," katanya yang juga ketua pegawai operasi Pusat Penyelidikan PAS.
 
"Hak asasi manusia perlu kembali kepada asas, bukan (kembali) dengan peristiwa yang memalitkan Islam dengan perkara yang tidak sesuai. Tafsiran yang lari daripada prinsip fitrah, maka kita akan lari dari prinsip Islam," katanya lagi.
 
Forum itu selama hampir tiga jam bermula 8.20 malam diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya dihadiri kira-kira 100 orang.
 
Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment